Enam penduduk maut, dua hilang di utara Myanmar


ENAM lagi penduduk kampung maut manakala dua hilang berhampiran kampung Kaigyi dan kawasan pergunungan Mayu di Maungtaw, Rakhine Myanmar, menurut Pejabat Penasihat Negara.

Mayat enam penduduk yang dibunuh kumpulan pemberontak itu, ditemui pasukan keselamatan semalam ketika melakukan rondaan, lapor agensi berita China Xinhua.

Semua mangsa dikenal pasti anggota kumpulan etnik Mro Arakan, maut akibat ditembak dan ditetak, pemberontak terbabit kini diburu pihak berkuasa.

Pada hujung minggu lepas, pasukan keselamatan Myanmar menemui khemah tempat persembunyian pengganas, di gunung Mayu, Buthidaung-Maungtaw.

Minggu lepas, kira-kira 31 suspek pemberontak ditahan di Maundaw kerana mengadakan pertemuan rahsia di kampung Kyauk Hlaykha dipercayai merancang untuk melancarkan serangan.

Sejak Oktober tahun lepas hingga Julai, Buthidaung dan Maungtaw menyaksikan serangan keganasan, mengorbankan 44 orang awam dan 27 diculik. – Bernama, 4 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen