MENANTU lelaki mendiang jutawan Monaco akan dibicarakan bersama sembilan lagi individu Isnin ini kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan beliau.
Pendakwa raya menyifatkan kes itu sebagai jenayah kejam.
Helena Pastor dan pemandunya ditembak oleh seorang lelaki bersenjata menggunakan senapang patah ketika beliau keluar dari perkarangan hospital di Nice selepas melawat anak lelakinya pada 6 Mei 2014.
Helena berada dalam keadaan koma manakala pemandunya meninggal dunia beberapa hari kemudian. Ketika tersedar dari koma, waris Monaco itu memberitahu penyiasat: “Saya takut, saya mahu berjumpa awak lagi sebab ada banyak lagi yang ingin saya beritahu.”
Namun, beliau tidak sempat berbuat demikian apabila meninggal dunia pada 21 Mei 2014.
Polis mengenal pasti dua lelaki yang disyaki melakukan pembunuhan yang disyaki dirancang oleh menantu lelaki Helena dari Poland, Wojciech Janowski.
Pada awalnya, Janowski mengakui mengarahkan pembunuhan itu untuk mendapatkan kekayaan Helena yang dianggarkan bernilai 12 bilion euro (AS$14 bilion), namun kemudian menarik balik pengakuan dengan berkata beliau tersilap faham soalan penyiasat.
Suspek pembunuhan, Samine Said Ahmed, 28, yang juga sedang dibicarakan telah menafikan semua dakwaan. Seorang lagi suspek, Al Hair Hamadi, 35, dituduh bersubahat sebagai peninjau semasa kejadian.
Menurut pihak pendakwaan, kedua-dua lelaki yang berasal dari kepulauan Comorus dan tinggal di daerah utara Marseilles, telah meninggalkan banyak petunjuk.
Kamera pengawasan di Marseilles merakam mereka membeli telefon bimbit dan menaiki kereta api ke Nice, dan DNA mereka ditemui pada botol yang ditinggalkan dalam bilik hotel.
Mereka juga dilihat menunggu Helena di depan hospital, di mana mereka menaiki sebuh teksi ke sana setelah gagal membeli skuter.
“Ini adalah kali pertam akali melihat pembunuh menaiki teksi ke tempat kejadian - mereka buat semua yang tak sepatutnya pembunuh buat,” menurut sumber penyiasatan. – AFP, 17 September, 2018.
Komen