AMERIKA Syarikat (AS) mengesahkan memotong lagi bantuan tambahan kepada rakyat Palestin bagi program-program sokongan resolusi konflik dengan Israel, kata pihak berkuasa pada Ahad.
Terkini, sebanyak AS$10 juta (RM41.4 juta) dalam program perdamaian melibatkan rakyat Palestin serta Yahudi dan Arab Israel dipotong.
Jumlah bantuan yang diperuntukkan untuk rakyat Palestin d Tebing Barat dan Semenanjung Gaza itu diarahkan disalur kepada program antara Yahudi dan Arab Israel, menurut seorang pegawai di kedutaan AS.
Tidak dijelaskan berapa banyak daripada jumlah tersebut telah diarahkan.
Pegawai AS juga tidak mengesahkan sama ada pemotongan terkini itu bermakna semua bantuan tidak melibatkan keselamatan rakyat Palestin sudah dimansuhkan.
“Seperti yang diumumkan pada Ogos, pentadbiran telah memindahkan saluran lebih daripada AS$200 juta yang asalnya untuk program di Tebing Barat dan Gaza,” kata pegawai di kedutaan AS.
“Pada masa yang sama, kami menngalihkan sebahagian daripada AS$10 juta yang asalnya dirancang untuk pengurusan konflik dan mitigasi.”
Menurut pegawai itu lagi, bahagian untuk rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza sebaliknya akan digunakan untuk “meningkatkan” program di Israel.
Presiden AS Donald Trump berkata beliau akan menyekat bantuan tersebut untuk memaksa rakyat Palestin berunding kerana Rumah Putih kini merancang satu rundingan damai dengan Timur Tengah - yang digelarnya sebagai “rundingan terakhir”.
Kepimpinan Palestin memutuskan hubungan dengan Rumah Putih selepas Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada Disember tahun lalu.
Mereka mendakwa Trump secara terang-terangan menyebelahi Israel dan memaksa mereka menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh Rumah Putih. – AFP, 17 September, 2018.
Komen