PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang mungkin individu yang paling gembira ketika ini selepas Muktamar Tahunan PAS melabuhkan tirai dengan jayanya tanpa sebarang “isu panas” yang timbul seperti yang dijangka pelbagai pihak sebelum ini.
Pendekatan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) yang digunapakai oleh PAS antaranya bagi mengelakkan ketidakstabilan politik seolah-olah telah diserap dengan baik bukan sahaja di peringkat kepimpinan malah oleh para perwakilan juga.
PAS dalam sejarah panjang parti itu telah beberapa kali mengadakan “tahaluf siyasi” dengan parti-parti politik pembangkang dalam usaha untuk merampas kerajaan persekutuan.
Namun tiada satu pun kerjasama politik yang berjaya membawa PAS ke Putrajaya. PAS merasakan mereka sering dikhianati oleh rakan pakatannya. Meskipun sering ditendang keluar daripada gabungan, ia tidak menjadikan PAS lemah.
Malah keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menunjukkan parti Islam itu berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dengan mengekalkan pemerintahan di Kelantan dan merampas kerajaan negeri Terengganu.
Bagaimanapun berbeza dengan nasib sebuah lagi parti Melayu Islam terbesar di negara ini, Umno yang mengalami kekalahan terbesar sehingga hilang kerajaan persekutuan buat pertama kalinya.
Keputusan yang mengejutkan pelbagai pihak itu menyaksikan satu persatu parti komponen Barisan Nasional (BN) meninggalkan Umno sehingga ia terpaksa mencari rakan baru dalam usaha untuk kembali berkuasa.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama yang telah terjalin dengan PAS ketika ini tidak harus ditafsirkan sebagai tahaluf siyasi (kerjasama politik) tetapi ia terbentuk dalam kerangka gagasan parti-parti pembangkang.
Ketua pembangkang itu menjelaskan kerjasama dengan PAS bukan berkisar mengenai soal agama sahaja tetapi realiti baru landskap politik negara yang memerlukan pembangkang bersatu dan parti komponen BN yang tinggal memahami realiti itu.
Walaupun kerjasama Umno-PAS tiada masalah di peringkat kepimpinan tertinggi, namun penerimaan ahli di bawah menjadi persoalan terutamanya akar umbi kedua-dua parti di Pantai Timur.

Perkara ini diakui sendiri Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, disebabkan kedua-dua parti itu sudah lebih 60 tahun bermusuhan.
“Memang sukar untuk akar umbi menerima. Sudah 60 tahun Umno dan PAS bergaduh. Jadi memang bukan mudah untuk membuat satu penyelesaian. Tapi kita akan cari jalan yang terbaik demi sebuah perjuangan untuk negara.
“Kolaborasi ini di peringkat pusat. Biar kita buat kolaborasi yang baik dan mesra di peringkat pusat selepas itu baru dibuat kolaborasi di peringkat negeri pula,” katanya kepada The Malaysian Insight.
PAS juga tidak terkecuali dalam hal ini. Malah ia juga dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura PAS baru-baru ini selepas parti mendapat maklumat terdapat perpecahan di peringkat akar umbi berhubung kerjasamanya dengan Umno.
Dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, Mursyidul Am Hashim Jasin melontarkan persoalan kepada perwakilan Dewan Pemuda sama ada wajar dalam keadaan politik ketika ini parti itu terus bermusuhan dengan Umno.
“Memang kita tidak setuju sebab sudah macam-macam Umno buat dekat PAS selama ini tapi sesuai tak masa ini kita berfikir untuk bergaduh dengan Umno?” soalnya.
Islam Memimpin
Bagi mendepani permasalahan ini, Dewan Ulama meminta kepimpinan PAS berhati-hati dalam usaha menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak supaya apa yang berlaku dalam kerjasama politik sebelum ini tidak berulang.
Antara syarat yang ditetapkan oleh Dewan Ulama dalam menentukan hala tuju kerjasama dengan parti-parti politik lain dengan memastikan Islam sebagai keutamaan dan tidak meninggalkan dasar perjuangan parti.
“Dalam keadaan kita berusaha bertaawun dengan mana-mana pihak, pastikan kerjasama kita itu atas nama mengukuhkan pembangkang dan dakwah untuk mengajak mereka bersama dengan Islam yang kita perjuangkan.
“Dan yang terakhir hendaklah mereka yang datang bertemu dengan kita. Jangan pula kita yang nampak sangat bersungguh-sungguh untuk pergi kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun bagi veteran PAS Subky Abdul Latif, soal kerjasama dengan Umno tidak harus dilihat mengenai soal penyatuan kedua-dua parti itu sahaja tetapi kerjasama yang boleh dilakukan untuk mengukuhkan kedua-dua pihak.
“Oleh kerana benda ini baru, jangan bercakap tentang bersatu, kita bincang tentang berdua. Komen saya, PAS dengan Umno berdua, jangan sebut pasal bersatu sebab benda ini mengejut,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Oleh kerana itu kita perlu bercakap pasal berdua. Berdua lebih bagus, berkawanlah. Tidak perlu bergabung. Itu lebih realistik daripada bersatu.
“Dalam Islam kalau hendak berjalan, satu tidak boleh, berdua boleh.” – 17 September, 2018.
Komen