PENDAKWA RAYA di Geneva membuka penyiasatan kes rogol dan salah laku seksual terhadap sarjana Islam, Tariq Ramadan, yang ditahan di Perancis sejak Februari atas beberapa tuduhan rogol berasingan, lapor media Switzerland pada Ahad.
Akhbar Tribune de Geneve memetik jurucakap pejabat pendakwa raya Geneva, Henri Della Casa yang berkata pihak berkuasa memutuskan untuk membuka siasatan jenayah rasmi terhadap tuduhan Tariq merogol seorang wanita di sebuah hotel Geneva pada 2008.
“Saya mengesahkan pembukaan siasatan,” kata Della Casa sebagaimana dilaporkan akhbar itu.
Ia merupakah langkah penting yang menunjukkan pihak berkuasa percaya dakwaan itu memerlukan siasatan lanjut.
Pendakwa membuat aduan pada April.
“Pihak pendakwa raya dan polis Geneva bekerja dengan cepat dan baik,” kata Romain Jordan, peguam yang mewakili pendakwa, memberitahu AFP dalam e-mel.
Beliau menyifatkan keputusan membuka siasatan jenayah sebagai tindakan penting yang “menunjukkan keseriusan tuduhan yang dibuat oleh anak guam kami.”
Tariq, seorang warga Switzerland dan cucu kepada pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin, belum ditemubual oleh pendakwa raya Switzerland.
Jordan berkata selepas pembukaan kes jenayah, penyiasat Switzerland kini akan ke Perancis untuk mendengar kenyataan Tariq berhubung dakwaan rogol itu.
Sarjana berusia 56 tahun, seorang tokoh yang terkenal dan kontroversial dalam Islam, menafikan sebarang kesalahan jenayah.
Tariq, yang mengambil cuti daripada jawatannya di Universiti Oxford selepas tuduhan itu timbul, mengadu pemenjaraannya menyebabkan beliau sukar mendapatkan rawatan bagi sklerosis berbilang dihidapinya.
Tariq, seorang bapa yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak adalah seorang tokoh Islam Eropah terkenal, ditahan di sebuah hospital penjara di Fresnes, selatan Paris.
Pada Selasa, Tariq akan disoal dengan kehadiran pendakwa kedua, seorang wanita kurang upaya yang dikenali sebagai “Christelle” yang mendakwa diperkosa dan dipukul di sebuah hotel di Lyon pada 2009. – AFP, 17 September, 2018.
Komen