Selepas serang Damsyik, Israel berikrar halang musuh dapat senjata


Awal bulan ini, Israel mengakui melancarkan lebih 200 serangan ke atas Syria sejak 18 bulan lepas, sasaran utama adalah aset Iran. – Gambar EPA, 16 September, 2018.

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Ahad berkata negaranya akan bertindak untuk menghalang musungnya daripada mendapatkan senjata canggih, beberapa jam selepas Damsyik mendakwa Israel melancarkan peluru berpandu ke lapangan terbangnya.

Israel masih tidak menafikan atau mengakui laporan agensi berita Syria, Sana, tentang serangan yang berlaku ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik pada Sabtu.

“Israel sentiasa bekerja untuk menghalang musuh kami melengkapkan diri mereka dengan senjata maju,” kata pejabat Netanyahu memetik kenyataan perdana menteri itu pada permulaan mesyuarat mingguan kabinetnya.

Sana memetik sumber tentera Syria yang berkata tentera udara negara itu “menembak jatuh beberapa peluru berpandu” ketika serangan itu.

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi, sebuah badan pemantau perang di Britain berkata serangan itu terkena depoh senjata di luar kawasan lapangan terbang.

Israel berikrar untuk menghalang musuh utamanya, Iran, yang merupakan penyokong utama kerajaan Damsyik daripada menempatkan kekuatan ketenteraan di Syria yang bergolak.

Awal bulan ini, Israel mengakui melancarkan lebih 200 serangan ke atas Syria sejak 18 bulan lepas, sasaran utama adalah aset Iran.

Ia juga mengakui menyerang Syria untuk menghalang penghantaran senjata canggih kepada Hezbollah di Lebanon, pergerakan bersenjata yang disokong Iran yang berjuang bersama-sama tentera Syria.

Serangan terakhir dilakukan Israel ke atas Syria berlaku pada 4 September lalu, apabila media Syria melaporkan yang tentera udara menembak jatuh beberapa peluru berpandu di Tartus dan Hama.

Kenyataan Netanyahu itu dikeluarkan dua hari sebelum ulang tahun tercetusnya Perang Yom Kippur.

Perang pada 1973 itu tercetus apabila Mesir dan Syria melancarkan serangan mengejut ke atas Israel yang menyebabkan kerugian besar.

Israel dan Mesir menandatangani perjanjian damai pada 1979, tetapi negara Yahudi itu secara teknikalnya masih berperang dengan Syria. – AFP, 16 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen