18 bulan diculik, 3 warga Indonesia dibebas Abu Sayyaf


Tentera Filipina mengenalpasti tiga warga Indonesia itu sebagai Hamdam Bin Salim, 34, Subande Satto, 27, dan Sudarlan Samansung, 41. – Gambar EPA, 16 September, 2018.

TIGA nelayan Indonesia diculik kumpulan pengganas Islam untuk menuntut wang tebusan dibebaskan selepas 18 bulan diculik di selatan Filipina, kata tentera pada Ahad.

Mereka diculik pada Januari 2017 ketika berada atas kapal di Kepulauan Tawi-Tawi, yang merupakan kawasan tumpuan pengganas Abu Sayyaf.

Warga Indonesia itu dibebaskan di bandar Indanan, Sulu pada Sabtu dan “diserahkan” kepada pihak berkuasa susulan “gempuran operasi ketenteraan” terhadap Abu Sayyaf, kata jurucakap tentera tanpa memberikan sebarang butiran.

Ditanya sekiranya ada wang tebusan dibayar, Gerry Besana memberitahu AFP: “Tiada, tiada wang tebusan dibayar. (Mereka) ditekan kerana operasi kami.”

Abu Sayyaf dikenali memenggal kepala tebusan sekiranya wang tebusan tidak dibayar.

Peningkatan kes penculikan menyebabkan Indonesia memberi amaran yang rantau Asia Tenggara boleh menjadi “Somalia seterusnya” dan mendesak tiga negara berjiran mengadakan kawalan bersama.

Pada Ahad, tentera Filipina mengenalpasti tiga warga Indonesia itu sebagai Hamdam Bin Salim, 34, Subande Satto, 27, dan Sudarlan Samansung, 41. 

Tebusan dibawa ke hospital tentera dan diserahkan kepada kedutaan Indonesia yang menemani mereka ke Manila, kata kenyataan tentera.

Abu Sayyaf masih menculik 11 tebusan, termasuk seorang warga Denmark yang diculik pada 2012 dan seorang warga Vietnam, kata Besana. – AFP, 16 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen