MASIH terlalu awal untuk PAS menentukan kerjasama politik dengan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi berkata pada ketika ini kerjasama dengan Umno kekal dalam perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat terutamanya isu-isu yang melibatkan soal kepentingan Melayu Islam.
“PRU15 lambat lagi. Kalau buat kenyataan sekarang ini, ada perubahan pada masa akan datang, kita tidak tahu. (Kita) lihat perubahan senario yang berlaku berikutnya.
“Apa yang penting respons daripada perwakilan keseluruhannya menerima kerjasama,” katanya dalam sidang media selepas menangguhkan Muktamar PAS ke-64 petang ini.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata pada masa ini Umno dan PAS cuma ada jawatankuasa di peringkat Parlimen, manakala kerjasama dalam bentuk gabungan untuk menghadapi PRU15 perlu dibincang lebih lanjut secara berperingkat.
Zahid semalam mengetuai pimpinan kanan Umno hadir pada pembukaan muktamar PAS di Kuala Terengganu, bersama pemimpin MIC – yang pertama dalam sejarah hubungan antara Umno dan BN dengan parti Islam itu.
Menurut Abdul Hadi, PAS tidak gopoh dalam menentukan bentuk kerjasama politik dengan Umno kerana perlu menilai senario politik negara dari masa ke masa.
“Mesyuarat akan diadakan bila perlu. Kita akan melihat sesuatu pandangan daripada negeri, dibawa ke Pusat, jawatankuasa politik akan bincang, kemudian Syura akan buat keputusan dari segi agama boleh atau tidak.__full.jpg)
“Kalau Syura kata boleh pun pelaksanaannya bergantung kepada strategi politik. Kalau perlu baru buat muktamar khas.
“Sehingga kini kita melihat taawun istilah yang baik ini mengikut pandangan Nik Aziz dan Haron Din. Istilah yang tidak mengikat kita,” kata ahli Parlimen Marang itu, merujuk kepada dua bekas Mursyidul Am PAS yang sudah meninggal dunia itu.
Mengulas mengenai soal wala’, iaitu patuh dengan pemimpin yang sering diucap oleh pimpinan parti pada sesi penggulungan, Abdul Hadi yakin perwakilan faham dan tidak membantah.
“Itu adalah peringatan dan pendidikan kepada ahli. Sehingga hari ini kita tidak lebur dengan adanya orang yang taat setia dengan kepimpinan PAS,” katanya.
“Apa yang berlaku, bila dia keluar parti macam ranting yang dipotong, dipacak atas tanah tetapi akar tidak tumbuh dan kemudiannya mati. PAS tetap kuat.”
Ditanya mengenai Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini, Abdul Hadi berkata beliau belum dapat mengesahkan kehadirannya, bergantung pada tahap kesihatan dan juga jadual kerja.
“Itu nantilah. Lihat kesihatan saya. Saya pun ada terikat dengan program di luar negeri, persidangan juga. Undangan diterima, di luar negeri ada undangan juga. Akan ada kepimpinan yang akan hadir,” ujarnya.
Perhimpunan Agung Umno, dengan skala lebih kecil, akan berlangsung sehari pada 30 September ini, berbanding tiga hari pada tahun-tahun yang lepas.– 16 September, 2018
Komen