TAUFAN Mangkhut membadai Hong Kong dalam laluannya ke tanah besar China pada Ahad, menyebabkan beberapa orang cedera dan menggegarkan bangunan pencakar langit selepas meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa di Filipina.
Ribut yang disifatkan sebagai paling kuat tahun ini menyebabkan kerosakan besar di kepulauan utama Luzon menyaksikan pokok besar tumbang dan menyebabkan berlaku banyak kejadian tanah runtuh.
Pihak berkuasa cuaca Hong Kong mengeluarkan amaran maksimum berhubung taufan itu, yang membawa angin berkelajuan 230 kilometer sejam menyebabkan lebih 100 orang cedera, menurut pihak berkuasa.
Ketika taufan itu melepasi selatan Hong Kong, pokok yang tumbang menghalang jalan raya, manakala tingkap beberapa bangunan pencakar langit dilihat berkecai.
Bangunan pencakar langit juga dilihat bergoyang, namun ia memang direka sedemikian rupa bagi menahan gegaran gempa bumi.
Di Filipina, pihak berkuasa baru memulakan pengiraan kerugian akibat taufan berkenaan, dan polis mengesahkan sekurang-kurangnya 30 orang maut ketika ia membadai utara Luzon pada Sabtu. – AFP, 16 September, 2018
Komen