PENGUNDIAN bermula di kawasan kawalan kerajaan di Syria pada Ahad, pilihan raya kerajaan tempatan pertama negara kancah perang itu sejak 2011, lapor agensi berita Syria, Sana.
Pusat pengundian dibuka seawal jam 7 pagi waktu tempatan dan dijangka dibuka selama 12 jam.
“Pusat mengundi dibuka kepada warga untuk membuang undi mereka bagi memilih wakil pentadbiran kerajaan tempatan,” lapor Sana.
“Lebih 40,000 calon bertanding merebut 18,478 kerusi di seluruh daerah,” katanya.
Televisyen Syria menayangkan rakaman pengundi di Damsyik dan kubu kuat kerajaan di Tartus dan Latakia membuang undi mereka.
Tentera kerajaan kini mengawal dua pertiga negara itu selepas berjaya merampas kawasan dipegang pemberontak termasuklah sekitar Damsyik dan selatan negara itu.
Pengundian dijangka turut berlaku di kawasan yang baru dirampas.
Kerusi yang dipertandingkan meningkat berbanding hanya 17,000 pada pilihan raya lepas, kerana perkampungan kecil banyak sudah dinaik taraf menjadi perbandaran.
Ahli majlis terpilih bertanggungjawab mentadbir daerah, dan bakal wakil rakyat dijangka mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk pembangunan semula kawasan perang dan pembangunan bandar.
Syria kali terakhir mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan pada Disember 2011, sembilan bulan sebelum konflik tercetus.
Ia mengadakan pilihan raya Parlimen pada 2016 dan pilihan raya presiden pada 2014 yang membolehkan Presiden Bashar al-Assad memerintah untuk tujuh tahun lagi. – AFP, 16 September, 2018.
Komen