Kerjasama dengan parti lain tidak akan khianat parti, kata Idris Ahmad


SM Amin

Naib Presiden PAS Idris Ahmad meminta ahli untuk beri kepercayaan kepada pimpinan parti untuk memikirkan strategi terbaik untuk masa depan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018

PIMPINAN tertinggi PAS tidak akan khianat kepada parti apabila membuat keputusan menyentuh soal kerjasama politik dengan parti lain, kata naib presiden parti Islam itu, Idris Ahmad.

Beliau menggesa ahli parti kekal setia kepada pimpinan dalam menghadapi suasana politik baru selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, ahli-ahli PAS perlu memberi kepercayaan kepada pimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk memikirkan strategi politik yang terbaik untuk masa depan parti.

“Wala’ adalah kekuatan yang ada kepada kita. Kita harapkan segala apa yang kita buat mestilah semua di kalangan kita perlu ada sikap “dengar dan taat”

“Pimpinan yang ada ini tidak akan khianat. Kalau anda semua rasa sayang dengan parti, Presiden dan kepimpinan yang lain lebih sayang PAS daripada anda semua.

“Sebab itu kita mahu anda semua dengan dan taat,” katanya ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS di Kuala Terengganu hari ini.

Sebahagian daripada perwakilan yang hadir pada Muktamar PAS yang ke 64 di Kuala Terengganu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 September, 2018

Muktamar PAS ke-64 di Terengganu sejak semalam membincangkan antara lain isu kerjasama politik dengan parti-parti lain, termasuk Umno, parti terbesar orang Melayu yang jadi musuh tradisinya sejak dulu.

Sementara itu, veteran PAS, Subky Abdul Latif dalam ucapannya meminta PAS memberi perhatian kepada ahli-ahli veterannya, yang cenderung keluar parti kerana tidak faham sejarah parti.

“Orang yang keluar PAS ini kerana tidak faham dengan sejarah PAS. Orang-orang yang berumur 60 tahun ke atas terutamanya yang uzur rasa mereka ini terbiar.

“Mereka merasakan parti tidak lagi pedulikan mereka. PAS dituduh tidak mengenang jasa orang-orang lama.

“Bila datang orang lain, orang-orang ini sertai parti lain,” katanya. – 16 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen