PERPINDAHAN Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) yang mencatatkan rekod dunia selesai awal pagi tadi apabila kelab Perancis itu mengesahkan bintang Brazil itu menandatangani perjanjian lima tahun dengan anggaran pendapatan 30 juta Euro (RM152.50 juta) setahun.
Perjanjian itu ditandatangani beberapa jam selepas pemain berusia 25 tahun itu membayar klausa pembelian bernilai 222 juta Euro (RM1.128 bilion) kepada Barcelona.
“Saya sangat gembira menyertai Paris Saint-Germain.
“Sejak tiba di Eropah, kelab itu sentiasa menjadi salah satu kelab paling kompetitif dan bercita-cita tinggi. Cabaran besar dihadapi memberikan saya motivasi untuk menyertai rakan sepasukan baharu dan membantu merangkul gelaran yang peminat mahukan.
“Cita-cita Paris Saint-Germain menarik perhatian saya bersama semangat dan tenaga yang dibawa. Saya bermain empat musim di Eropah dan saya rasa bersedia menghadapi cabaran ini.
“Bermula hari ini saya akan melakukan segala-galanya yang saya mampu untuk membantu rakan sepasukan saya, membuka dunia baru untuk kelab saya dan membawa kegembiraan kepada berjuta penyokong di serata dunia,” katanya.
Rekod perpindahan termahal sebelum ini ialah Paul Pogba iaitu 105 juta Euro apabila menyertai Manchester United dari Juventus, tahun lalu.
PSG berkata Neymar akan mengadakan sidang akhbar di Parc des Princes hari ini.
Beliau kemudian akan dipersembahkan kepada peminat di tempat sama esok sebelum musim pembukaan Ligue 1 menentang Amiens. – AFP, 4 Ogos, 2017.
Komen