Dewan Ulama mahu PAS berhati-hati jalin kerjasama politik


SM Amin

Dewan Ulama PAS menetapkan kerjasama itu hendaklah mengutamakan Islam dan tidak meninggalkan dasar perjuangan parti sebagai sebuah parti Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018

KEPIMPINAN PAS diminta berhati-hati dalam usaha menjalin kerjasama politik dengan mana-mana pihak supaya apa yang berlaku dengan kerjasama sepertinya sebelum ini tidak berulang, kata perwakilan Dewan Ulama, Zulkarnain Hassan.

Kerjasama itu hendaklah mengutamakan Islam dan tidak meninggalkan dasar perjuangan parti sebagai sebuah parti Islam, katanya, merujuk pada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Dewan Ulama PAS kepada kepimpinan parti.

“Siasah itu berubah-ubah. Dulu kita bersama dengan DAP (dalam) Pakatan Rakyat, tapi sekarang kita berpisah. Dulu kita bermusuh dengan Umno, sekarang dilihat semakin rapat dengan Umno.

“Dalam keadaan kita berusaha bertaawun dengan mana-mana pihak, pastikan kerjasama kita itu atas nama mengukuhkan pembangkang dan dakwah untuk mengajak mereka bersama dengan Islam yang kita perjuangkan.

“Dan yang terakhir hendaklah mereka yang datang bertemu dengan kita. Jangan pula kita yang nampak sangat bersungguh-sungguh untuk pergi kepada mereka,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS di Kuala Terengganu.

Zulkarnain bagaimanapun yakin, berdasarkan ilmu dan pengalaman yang ada dalam kepimpinan PAS dan Majlis Syura, apa yang diputuskan oleh kepimpinan itu perlu dan wajib dipatuhi oleh semua ahli-ahli PAS.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya semalam tidak menyebut secara langsung tentang kerjasama parti Islam itu dengan Umno sebaliknya menyentuh sebagai dasar kesediaan PAS bekerjasama dengan mana-mana parti politik tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti.

Pembukaan muktamar di Kuala Terengganu itu semalam juga dihadiri pemimpin kanan Umno diketuai presidennya Ahmad Zahid Hamidi, kehadiran yang pertama dalam sejarah hubungan dua parti terbesar orang Melayu itu.

Zahid menjelaskan kerjasama yang diteroka oleh Umno dengan PAS ialah untuk mewujudkan pakatan pembangkang yang lebih kuat untuk berdepan dengan kerajaan Pakatan Harapan.

PAS yang kini memerintah Kelantan dan Terengganu sebelum pilihan raya umum ke-14 yang lalu menjalin kerjasama dengan beberapa parti kecil atas nama Gagasan Sejahtera.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi merupakan antara pemimpin Umno yang turut hadir pada Muktamar PAS kali ke 64 di Terengganu. – Gambar fail The Malaysian insight, 16 September, 2018

Pandangan Dewan Ulama PAS itu disokong oleh perwakilan Kedah, Hanif Ghazali yang mengingatkan pimpinan parti bahawa apa sahaja strategi politik yang dipilih, PAS perlu mempunyai aqidah perjuangan, jati diri dan hala tuju perjuangan.

“Jika kita kurangkan kekuatan ini, dibimbangi masalah dalaman kita berulang apabila bertahaluf dengan Pakatan Rakyat dahulu.

“Kita melihat sebahagian daripada ahli-ahli, bahkan pemimpin kita memberikan wala’ kepada rakan tahaluf lebih daripada parti sendiri.

“Perlu diberi perhatian, penerokaan pendekatan politik yang tidak akan kemana-mana jika kerjasama hanya dibentuk dipucuk tetapi rapuh dan kecut di akar umbinya,” katanya.

Hanif juga mahu PAS memperkukuhkan media sosial parti supaya rakyat dapat memahami perjuangan PAS sekaligus diangkat sebagai pengganti kerajaan sedia ada.

Jelasnya, selepas empat bulan kerajaan Pakatan Harapan memerintah, rakyat melihat perlu diberikan semula kepada Barisan Nasional sebelum ini yang disifatkan lebih baik memerintah negara dan bukannya memberi peluang kepada PAS untuk membuktikan kemampuan.

“Amatlah rugi jika rakyat tiba-tiba menyebut alangkah baiknya Barisan Nasional dipilih semula, kenapa kita tidak disebut sebagai orang yang diharap selepas kegagalan kerajaan PAS.

“Lihatlah facebook mantan Perdana Menteri Najib Razak yang lebih ramai pengikutnya daripada Facebook pimpinan kita.

“Adakah tulisan pimpinan kita tidak menarik? Adakah rangkaian cybertrooper kita lemah? Adakah mujahid kita longlai? Rakyat belum melihat kita sebagai galang ganti untuk menyelamatkan negara ini,” ujarnya. – 16 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen