POLIS Turki menahan sekurang-kurangnya 20 individu pada Sabtu ketika meleraikan protes berhubung kematian di tempat kerja dan keadaan buruk di lokasi pembinaan lapangan terbang ketiga di Istanbul, yang dianggap sebagai lapangan terbang terbesar di dunia apabila siap.
Pasukan keselamatan terpaksa bertindak menyuraikan penunjuk perasaan susulan penahanan ratusan pekerja pada Jumaat.
Antara yang ditahan polis pada Sabtu ialah jurugambar AFP Bulent Kilic yang sedang membuat liputan. Beliau dibebaskan selepas dua jam dalam tahanan.
Sejumlah 500 orang ditangkap semasa protes di tapak projek yang merupakan salah satu pembangunan mega Presiden Recep Tayyip Erdogan, menurut Konfederasi Kesatuan Revolusi Turki (DISK).
Pasukan keselamatan pada Jumaat meleraikan demonstrasi dilakukan ratusan pekerja di luar lapangan terbang baru, yang dijangka siap bulan depan, lapor agensi berita swasta DHA.
Penunjuk perasaan mengadu tentang kematian dan kemalangan di tempat kerja serta keadaan hidup dan keadaan buruh yang teruk.
Akhbar pembangkang, Cumhuriyet melaporkan keluhan pekerja mengenai kutu dan pepijat.
Syarikat pembinaan dan operasi lapangan terbang, Istanbul Grand Airport (IGA), mengeluarkan kenyataan yang pihak pengurusan sudah bertemu dengan pekerja dan berjanji untuk mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah dengan segera.
Jurucakap IGA enggan mengulas lanjut pada Sabtu.
Hashtag yang menyokong pekerja, “kami bukan hamba” (#köledegiliz) menjadi trending di Turki pada Sabtu.
Puluhan anggota pasukan keselamatan bersama kenderaan berperisai, mengawal akses ke tapak projek pada Sabtu, kata wartawan AFP.
Ketika pesawat pertama mendarat di IGA pada Jun, Erdogan berkata lapangan terbang baharu itu akan menjadi yang terbesar di dunia dengan kapasiti fasa pertama sebanyak 90 juta penumpang setahun yang akan meningkat sehingga 150 juta pada 2023.
Seramai 35,000 orang bekerja di projek itu termasuk 3,000 jurutera dan kakitangan pentadbiran.
Seramai 27 pekerja meninggal dunia di tapak pembinaan - 13 dalam kemalangan berkaitan kerja, kata menteri pengangkutan semasa lawatan akhbar ke lapangan terbang pada April lepas.
Bagaimanapun, beberapa pekerja, yang tidak mahu dinamakan, memberitahu AFP pada Sabtu yang angka kementerian terlalu rendah dan kemalangan sering berlaku di tapak projek. – AFP, 16 September, 2018.
Komen