The Torch di Dubai terbakar kali kedua


Kebakaran di bangunan pencakar langit itu bermula di tengah bangunan sebelum merebak ke tingkat atas. – Gambar AFP, 4 Ogos, 2017.

PENDUDUK yang panik melarikan diri dari salah satu bangunan tertinggi di Dubai yang terbakar awal pagi ini. Ini adalah kebakaran kali kedua melanda bangunan pencakar langit itu.  

Pihak berkuasa mengatakan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu yang bermula di tengah bangunan The Torch, salah satu bangunan kediaman tertinggi pernah dibina di dunia.

Bangunan itu juga terbakar pada 2015 menyebabkan kerosakan teruk dan memaksa penduduk bangunan bersebelahan dipindahkan.

Pihak berkuasa Dubai mengatakan yang api berjaya dipadamkan. Punca kebakaran masih tidak dapat dikenalpasti.

Gambar yang diterbitkan Pertahanan Awam Dubai menunjukkan The Torch selepas api berjaya dikawal: api masih dapat dilihat membakar bahagian bawah bangunan, tetapi bahagian tengah dan atas bangunan rosak teruk.

Januari lalu, Dubai mengumumkan peraturan lebih ketat untuk meminimumkan risiko kebakaran selepas beberapa kebakaran berlaku di bangunan tinggi negara itu.

Pada malam Tahun Baru 2015, kebakaran berlaku di sebuah hotel mewah menyebabkan 16 orang cedera.

Pada November 2015, kebakaran melanda tiga bangunan kediaman di tengah Dubai dan menyebabkan perkhidmatan metro digantung, walaupun tiada kecederaan dilaporkan. – AFP, 4 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen