Malaysia baharu milik semua termasuk yang tidak bersetuju dengan kita


SEMPENA merayakan Hari Malaysia buat julung kalinya di bawah kerajaan yang berbeza sejak 54 tahun yang lalu, marilah kita beringat di sebalik keghairahan ini era “Malaysia Baharu” ini adalah milik semua rakyat Malaysia yang bukan sahaja berbeza daripada segi etnik, agama, bahasa, budaya, gaya hidup dan keadaan sosio-ekonomi, malah juga mempunyai aspirasi berbeza mengenai hala tuju negara kita.

Negara ini bukan hanya milik 48% pengundi yang melakar sejarah dengan memilih kerajaan baru Pakatan Harapan (PH), tetapi juga 52% undian yang dipecah antara Barisan Nasional (BN), PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM), pelbagai parti Borneo dan calon lain.

Untuk memastikan Malaysia Baharu terus maju maju, kita semua mesti mengiktiraf negara ini adalah milik semua rakyat Malaysia termasuk mereka yang tidak bersetuju dengan kami.

Mengakui kewujudan perbezaan ini mungkin akan melambatkan sebagian perubahan yang ingin dibawa apabila perubahan itu menimbulkan ketakutan atau kesangsian di kalangan sebahagian rakyat Malaysia.

Kita tidak boleh mengabaikan ketakutan dan keraguan mereka dan melakukan perubahan secara paksa. Sebaliknya, kita boleh mempercepat proses perubahan dengan mempromosikan dialog untuk membina kepercayaan, menjalin konsensus dan mencari penyelesaian yang inklusif.

Dialog yang bermakna dan ikhlas bagaimanapun tidak mungkin berlaku dengan sendirinya.

Ia memerlukan dua prasyarat. Pertama sekali, penghormatan asas bahawa setiap orang mempunyai hak untuk didengari, tidak kira betapa tidak popularnya pandangan itu.

Kita perlu membebaskan diri daripada undang-undang autoritarian yang menyekat pemikiran kita seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Pencetakan dan Penerbitan (PPPA), Komunikasi dan Multimedia (CMA), Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Kita juga perlu bebas dari budaya “bajet bagus” yang tunduk kepada sikap memburukkan orang yang tidak sehaluan dengan kita dengan pelbagai label seperti fanatik, rasis, kuno, subversif, tidak patriotik, tidak bermoral atau tidak beragama; atau lebih teruk lagi mengancam orang lain dengan menggunakan keganasan.

Kedua, kepentingan setiap orang haruslah diambil kira dalam membuat keputusan awam.

Ini memerlukan sistem politik kita menjadi lebih berasaskan konsensus dan bukannya berdasarkan prinsip pemenang-mengambil-semua (yang menang mengambil segala-galanya).

Apabila kuasa dan sumber hanya tertumpu di tangan kerajaan persekutuan, dan kuasa boleh ubah tangan apabila sebilangan kecil undi beralih arah di bawah pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP), bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila sebahagian orang Melayu-Muslim merasa bimbang terhadap persaingan pelbagai parti dalam politik Melayu dan senang dipengaruhi oleh propaganda yang masyarakat Melayu-Muslim sedang diancam.

Untuk beralih daripada mobilasi politik yang berdasarkan sentimen perkauman dan agama, sistem politik mestilah mampu menjamin bahawa tidak ada perubahan besar dapat dilakukan tanpa konsensus yang jelas agar pengundi merasa lebih aman dalam membuat pilihan, tidak kira apa pilihan itu.

Sambutan kemerdekaan dan kenegaraan kita haruslah berpusatkan penerimaan terhadap kepelbagaian dan kesediaan untuk berdepan dengan kerumitan yang datang dengannya.

Pemerintahan 61 tahun negara kita oleh satu parti, walaupun pernah ada usaha untuk mencapai hubungan baik antara kaum dan agama, namun ia merosot kerana kegagalan kita untuk menangani isu kepelbagaian, perbezaan dan persaingan.

Ia juga membawa kita ke arah autoritarian kononnya atas sebab keselamatan dan kestabilan negara. Ini membawa ke arah ketakutan dan rasa sangsi terhadap perbezaan masing-masing.

Sempena Hari Malaysia ini, marilah kita bersama meraikan kehidupan masyarakat majmuk dengan sepenuh hati dengan keazaman untuk menjadikan kepelbagaian sebagai aset kami terbesar.

Marilah kita bersama menghargai Malaysia sebagai negara yang ditunjangi oleh penduduk masyarakat majmuk dari tiga wilayah di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, supaya kita mengenali - seperti kata peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta - dan saling mencintai.

Marilah bersama menghidupkan dialog ruang dan saling mendengar satu sama lain tentang bagaimana kita dapat menjadikan sistem politik kita lebih terbuka dan inklusif, sesuai dengan keadaan sosial kita yang kompleks.

Marilah bersama membina Malaysia yang lebih baik! Selamat Hari Malaysia!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! – 16 September, 2018.

* Zaid Kamaruddin adalah pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen