Sarawak masih menanti perubahan dijanjikan


Desmond Davidson

Aktivis autonomi negeri, Lina Soo kesal dengan alasan yang diberikan kerajaan Pakatan Harapan dalam menangani isu hak Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018.

KALI ini Hari Malaysia disambut dengan pentadbiran kerajaan baru tetapi tidak seperti keghairahan terhadap perubahan rejim pada pilihan raya umum 9 Mei, Sarawak menyambut kedatangan 16 September dengan kesabaran yang semakin menipis terhadap janji memulihkan semula hak negeri yang terhakis.

Para aktivis berasa pusingan “U” Pakatan Harapan (PH) terhadap janji pilihan raya mereka untuk menaikkan royalti minyak dan gas serta kata-kata yang sering diungkap mengenai kekangan Putrajaya dalam menangani hutang negara yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu sudah basi.

“Hasrat dan harapan saya untuk Malaysia baru ini di bawah PH… tidak banyak,” kata aktivis autonomi negeri terkenal, Lina Soo, yang kini menjadi presiden Parti Pembaharuan Sarawak (Star).

“Mereka menyuarakan perkara lama yang sama menyalahkan Najib Razak (bagi semua masalah kerajaan BN) dan 1MDB (skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad).

“Tiada apa-apa pun yang berubah dari segi pemikiran mereka, berhubung usaha yang diperlukan untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Perjanjian atau MA63 adalah dokumen yang menyatukan pembentukan Malaysia oleh Sarawak, Sabah, Malaya dan Singapura pada 1963. Singapura meninggalkan persekutuan negara dua tahun kemudian.

Sarawak dan Sabah sekian lama mengeluh banyak hak mereka di bawah perjanjian itu tidak dihormati.

Paling utama adalah permintaan pembayaran royalti minyak sebanyak 20% daripada pemerintah persekutuan tetapi kenyataan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pada Julai membangkitkan kemarahan tentang halangan Putrajaya untuk melaksanakannya.

Azmin berkata syarikat minyak nasional Petronas akan bankrap jika royalti itu dibayar berdasarkan pengeluaran kasar, seperti yang diminta oleh kedua-dua negeri dan bukannya keuntungan bersih.

Soo berkata PH tiada beza dengan kerajaan Barisan Nasional terdahulu kerana para pemimpin utamanya, terutama daripada PKR dan Bersatu termasuk Dr Mahathir Mohamad dan perdana menteri seterusnya, Anwar Ibrahim, adalah bekas pemimpin Umno. – 16 September, 2018.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen