Umno perlukan kami untuk kembali ke Putrajaya, kata perwakilan PAS


Chan Kok Leong SM Amin

Perwakilan PAS menyedari Umno dan Barisan Nasional tidak akan dapat mengalahkan Pakatan Harapan sendirian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 September, 2018.

PERWAKILAN muktamar PAS jelas mengenai satu perkara - Umno memerlukan bantuan PAS untuk kembali ke Putrajaya.

“Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat mengalahkan Pakatan Harapan (PH) sendirian,” kata perwakilan Kuala Krau Sharuddin Mohd Salleh kepada The Malaysian Insight.

“Walaupun Umno mempunyai tiga juta ahli, satu pertiga telah meninggalkan parti berikutan kekalahan mereka pada pilihan raya umum Mei lepas. Tetapi walaupun PAS hanya mempunyai sejuta ahli, ahli kami setia,” katanya ketika ditanya mengenai pandangan mengenai rancangan kerjasama untuk merampas kuasa persekutuan.

Shahruddin, bagaimanapun, memberi amaran bahawa sebarang kerjasama perlu dipertimbangkan dengan teliti kerana negeri-negeri pantai timur PAS mempunyai dinamik yang berbeza berbanding rakan di negeri sebelah barat.

“Di Kelantan dan Terengganu terutamanya, kita sudah kuat dan menjadi kerajaan. Oleh itu, bagaimanakah kita akan bekerjasama dan berkongsi kerusi apabila semua kerusi dipertaruhkan? “

Beliau berkata pengundi pantai timur hanya mengiktiraf Umno dan PAS dan ia tidak akan diterima jika mereka terpaksa menyerahkan kerusia kepada pihak lawan.

Perwakilan Bagan Serai, Termizi Mohamad berkata idea bekerjasama dengan Umno adalah baik kerana dapat menyatukan umat Islam.

“Tetapi pada masa ini, mereka memerlukan kita lebih daripada kita memerlukannya,” kata pemimpin bahagian berusia 72 tahun itu.

Bagaimanapun, Termizi menepis isu itu sebagai “semua orang memerlukan PAS”.

“Ketika Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjara, PAS adalah parti yang menerima beliau. Jadi, bukanlah luar biasa bagi kita untuk membantu Umno selagi ia menerima cara kita Islam. “

Pesuruhjaya Tanah Merah dan Exco negeri Kelantan Abdul Fattah Mahmood, bagaimanapun, lebih diplomatik dan berkata kedua-dua parti memerlukan satu sama lain.

“Senario politik telah berubah banyak dalam tempoh 10 tahun lalu dan pengundi menghakimi kita sepanjang masa. Jadi dalam situasi di mana kita berdua harus bersaing untuk populariti, persoalan siapa lebih memerlukan siapa tidak timbul,” kata Adun Bukit Panau.

“Isu yang lebih penting bagi sebarang kerjasama dengan Umno bergantung kepada sama ada mereka boleh menerima objektif kami untuk menegakkan Islam,” kata Fattah.

Halangan

Bagaimanapun, ahli PAS sejak sekian lama itu menolak sebarang perbincangan mengenai penggabungan atau menjadi komponen dalam BN.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang semasa pembukaan Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Kuala Terengganu, semalam. Buat pertama kalinya pemimpin Umno menghadiri persidangan parti Islam itu bersama beberapa pemimpin kanannya.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018.

“Kita boleh bekerjasama tetapi tidak perlu menyertai BN sekali lagi.”

Termizi merasakan idea untuk bekerjasama dengan Umno adalah penting dan baik untuk perpaduan umat Islam.

“Kita tidak boleh berpecah sepanjang masa,” kata Termizi.

PAS, yang diasaskan oleh sekumpulan ulama daripada Umno pada 1951 adalah satu daripada parti pengasas BN pada 1972.

Bagaimanapun, Umno dan PAS berbalah pada 1977 selepas parti Islam itu mengisytiharkan darurat di Kelantan bagi menguasai negeri itu, yang menyebabkan mereka meninggalkan pakatan.

Hubungan antara kedua parti bertambah buruk pada 1981 selepas mesej Presiden PAS Abdul Hadi Awang dipanggil “Amanat Hadi” dikeluarkan semasa ceramah.

Dalam ceramah itu, Hadi menjelaskan PAS menentang Umno kerana ia mempertahankan undang-undang penjajah dan ia adalah parti kafir.

Shahruddin menyedari sepenuhnya jalan berliku untuk berdamai yang perlu dihadapi dengan musuh lama itu.

“Sebahagian daripada akar umbi tidak akan suka bekerjasama dengan Umno kerana mereka melakukan kesalahan pada masa lalu. Tetapi PAS adalah parti yang sangat berdisiplin dan mereka akan mengikut arahan,” katanya dengan penuh harapan.

“Dengan Umno, ia akan menjadi sukar kepada ahli tetapi tanpa Umno, kita juga tidak boleh menawan Putrajaya,” kata Shahruddin.

Fattah percaya walaupun sukar, akar umbi akan dapat menerima kerjasama dengan Umno.

PAS mempunyai ahli yang taat dan perwakilannya yakin mereka akan dapat menerima kerjasama antara Umno dan parti Islam itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018.

“Kelantan mempunyai sejarah yang pahit dengan Umno bermula dari tahun 1970-an ketika kita berada dalam BN dan kemudiannya ditendang keluar. Sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan Umno akan menjadi sesuatu yang tidak selesa.

“Tetapi seperti masa lalu, ahli kami akan menyokong parti sebaik sahaja keputusan dibuat,” kata Fattah.

BN kini mempunyai 54 kerusi persekutuan sementara PAS mempunyai 18 kerusi. BN dan Umno mengalami kekalahan yang memalukan pada PRU14, mengakibatkan mereka kehilangan kuasa buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

Berikutan itu, Umno dan PAS menunjukkan tanda-tanda kerjasama apabila mereka memutuskan untuk memberi laluan antara satu sama lain dalam tiga pilihan raya kecil.

Dan buat kali pertama, pemimpin Umno yang dipimpin oleh presidennya Ahmad Zahid Hamidi menghadiri pembukaan muktamar PAS di Kuala Terengganu pada Sabtu. 16 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen