KEBAKARAN berlaku di luar pasar ikan Tsukiji terkemuka di Tokyo yang juga pasar terbesar di dunia, semalam dengan api marak dan asap tebal kelihatan dari bangunan kayu itu.
Berdozen anggota bomba cuba memadamkan kebakaran itu, di kawasan yang sesak dengan kedai kecil dan restoran, tetapi media tempatan berkata tidak ada laporan mengenai mangsa tercedera.
Kebakaran berlaku di bangunan tiga tingkat itu sekitar jam 4.50 petang waktu tempatan, memusnahkan kawasan seluas 200 meter persegi, kata stesen penyiar NHK.
Sejumlah 43 jentera bomba dikerah memadamkan kebakaran itu, kata NHK.
“Saya tahu ia kebakaran. Jadi, saya hubungi pengurus dan memindahkan semua pelanggan restoran,” kata ketua rangkaian restoran Sushizanmai Kiyoshi Kimura yang berada di pejabatnya di kawasan itu ketika kebakaran.
Kebakaran berlaku selepas Gabenor Tokyo Yuriko Koike pada Jun lalu berkata pasar ikan itu akan dipindahkan ke lokasi baharu.
Rancangan untuk memindahkan pasar berusia berdekad itu dilakukan sejak beberapa tahun lalu, dengan pihak berkuasa berkata teknologi di situ perlu dinaik taraf kerana sistem penyejukan Tsukiji sudah terlalu lama.
Koike sebelum ini berkata tapak pasar sedia itu akan dibangunkan semula untuk pembangunan lain. – AFP, 4 Ogos, 2017.
Komen