PAS wajib bantu Umno untuk menang pilihan raya, kata perwakilan  


SM Amin

Wakil Selangor, Zamri Zainuldin ketika berucap pada Muktamar PAS yang ke-64 hari ini berkata, beliau yakin gabungan kerjasama Umno dengan PAS mampu merampas banyak kerusi DUN dan Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2018

PAS bertanggungjawab membantu Umno demi kemenangan agama dan bangsa selepas parti Melayu itu kalah teruk dalam pilihan raya, kata perwakilan di muktamar ke-64 hari ini.

Salah seorang daripadanya Hassan Mohamood berkata, orang Umno juga perlu didampingi kerana kerajaan Islam PAS perlu mendapat sokongan lebih kuat.

“Oleh itu menjadi tanggungjwab kepada kita sekarang untuk mendampingi mereka, memimpin mereka supaya mereka bersama dengan kita seterusnya dalam pilihan raya akan datang kita akan mencapai kemenangan,” katanya.

Gesaannya semasa membahaskan ucapan dasar presiden disambut wakil Selangor, Zamri Zainuldin yang yakin gabungan kerjasama Umno dengan PAS mampu merampas banyak kerusi sama ada Dun mahupun Parlimen.

Jelasnya, ia bagi menguatkan semula sokongan di kawasan majoriti Melayu di pantai barat yang terpecah kepada tiga kumpulan iaitu PAS, Umno dan Pakatan Harapan dalam PRU14.

Keadaan itu berlaku disebabkan PAS membuat keputusan untuk bertanding tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan dan juga Umno.

Namun langkah itu menyebabkan Pakatan Harapan menang, kata Zamri dengan memberi contoh kemenangan calon PKR di DUN Sabak di Selangor.

“Apa yang berlaku di kawasan-kawasan majoriti Melayu, di Dun Sabak contohnya, Umno mendapat 6,851 undi, PKR 6,981 dan PAS dapat 6183. PKR telah menang,” katanya.

“Sekiranya Umno dan PAS sepakat untuk bertanding satu lawan satu menentang calon-calon PH, kemungkinan besar kedua-dua parti dapat menguasai banyak kerusi dan kemungkinan keputusan PRU14 tidak sebagaimana yang kita lihat pada hari ini,” katanya.

Beliau juga berkata, keputusan dua PRK di Selangor, di Sungai Kandis dan Seri Setia menunjukkan pengundi sudah mula beralih sokongan kepada pembangkang.

Oleh itu, PAS perlu kembali kepada penyelesaian Islam melalui tahaluf siyasi atas nama kesatuan ummah khususnya kesatuan Melayu Islam, katanya.

“Para pengundi sudah mula terkesan dengan pemerintahan PH. Rakyat mahu terutamanya pengundi Melayu dan yang lain mahu melihat kesatuan kuasa politik Melayu Islam.

Sebahagian daripada penyokong dan ahli PAS yang hadir pada Muktamar PAS yang ke-64 yang diadakan di Kuala Terengganu hari ini. –  Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2018

“Dengan tahaluf siyasi ini atas nama kesatuan ummah khususnya kesatuan Melayu Islam terbesar di Malaysia, kita perlu melakukan dakwah kepada Umno yang disebut tadi telah pecah kapalnya,” katanya.

Tambah Zamri, tahaluf siyasi yang hendak dijalinkan pada kali ini berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1970-an, ketika Umno menguasai kerajaan persekutuan.

Katanya, keadaan semasa boleh dikaji kerana pada kali ini Umno ingin bekerjasama dengan PAS selepas parti Melayu itu tidak berkuasa.

“Mereka sekarang ini bukan lagi kerajaan, pastinya kondisi dan keadaan sudah berbeza dan perlu diteliti satu per satu,” ujarnya.

Hasil daripada strategi bertading tiga penjuru, PAS menang 18 kerusi dan sekitar 16 peratus undi popular dalam PRU14. 

Parti itu turut berjaya membentuk kerajaan sekali lagi di Kelantan dan merampas semula negeri Terengganu.

Umno pula meraih 54 kerusi, jumlah paling banyak untuk sesebuah parti tunggal di Parlimen. 

Bagaimanapun parti itu kehilangan rakan kongsi kerana banyak parti komponennya meninggalkan Barisan Nasional apabila gabungan parti itu kalah PRU14. – 15 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen