SEEKOR anak gajah jantan terkena renjatan elektrik di Thailand selepas tersandung ke dalam longkang sebelum jatuh ke atas papan tanda sebuah restoran, kata polis pada Sabtu.
Ketika kejadian, dua pelatih gajah membawa anak gajah yang berusia 10 tahun diberi nama Plai Nam Choke yang bermaksud “Tuah” di sekitar pekan Samut Prakhan di wilayah selatan Bangkok dan menawarkan orang ramai peluang memberi makan kepadanya untuk mendapatkan wang.
Namun Tuah bagaimanapun tersandung di sebuah longkang terbuka dan berlanggar dengan papan tanda elektrik di luar sebuah restoran,” kata pegawai polis Nopporn Saengsawang.
“Saya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 malam ada anak gajah tersekat dalam longkang,” katanya.
“Ia mungkin mati akibat renjatan elektrik.”
Beberapa pekerja daripada kumpulan amal tempatan cuba memberi bantuan pernafasan kepada Tuah selama tiga jam selepas ia jatuh.
Dua pelatih gajah terbabit didakwa kerana membawa gajah secara haram dan kesalahan menganiaya haiwan, kata Nopporn.
Tuah berasal dari wilayah tiur laut Surin, yang menjadi tuan rumah kepada perhimpunan tahunan gajah.
Gajah liar masih dapat dilihat di kawasan Taman Negara Thailand, namun jumlahnya semakin berkurangan kepada 2,700 daripada 100,000 ekor pada tahun 1850.
Sejumlah besarnya dibela untuk hiburan atau bagi tujuan pelancongan, mencetuskan tuduhan kekejaman terhadap haiwan.
Penjaga haiwan berkenaan biasanya tidak dibenarkan membawa haiwan itu berjalan ke kawasan bandar kerana kesesakan ruang, namun ramai yang sanggup mengambil risiko untuk menyara kehidupan. – AFP, 15 September, 2018
Komen