SEKURANG-kurangnya 13 orang maut dan lapan lagi masih hilang selepas feri penumpang terbakar sebelum tenggelam di tengah Indonesia, kata pihak berkuasa pada Sabtu.
Feri berkenaan dipercayai membawa hampir 150 penumpang di perairan wilayah Sulawesi pada Jumaat ketika kejadian itu berlaku.
Keadaan ombak besar menyukarkan operasi menyelamat namun 126 orang telah diselamatkan setakat petang Sabtu.
Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan untuk mencari mangsa.
“Berdasarkan laporan daripada keluarga penumpang, masih ada beberapa orang yang dilaporkan hilang,” kata jurucakap kementerian pengangkutan Wisnu Wardana kepada AFP.
Antara mangsa yang meninggal dunia adalah dua kanak-kanak. Kebanyakan penumpang yang diselamatkan ditemui memakai jaket keselamatan.
Punca sebenar kemalangan itu masih disiasat.
Kepulauan Indonesia terdiri daripada 17,000 pulau bergantung kepada pengangkutan feri, namun standard keselamatan sering diabaikan menyebabkan kerap berlaku kemalangan maritim.
Pada Jun, lebih 160 orang terbunuh apabila feri penumpang karam di Tasik Toba, yang menjadi tarikan pelancong di barat Indonesia. – AFP, 15 September, 2018
Komen