PEMIMPIN pembangkang Rwanda Victoire Ingabire dibebaskan daripada hukuman penjara secara tidak dijangka hari ini.
Beliau dibebaskan selepas Presiden Paul Kagame memberi kebenaran untuk pembebasan awal bersama 2000 orang tahanan lain.
“Saya berterima kasih kepada presiden kerana memberi pembebasan ini,” kata Ingabire ketika beliau meninggalkan Penjara Mageragere di Kigali.
“Saya harap ini jadi permulaan ruang politik baru di Rwanda,” kata beliau di samping menggessa Kagame “untuk melepaskan tahanan-tahanan politik yang lain.”
Pembebasan 2,140 tahanan yang mengejutkan itu termasuklah Kizito Mihigo berikutan mesyuarat kabinet Jumaat lalu memutuskan perintah “pengampunan” presiden diluluskan.
“Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Presiden Paul Kagame hari ini meluluskan pembebasan tahanan 2,140 pesalah yang layak di bawah undang-undang,” kenyataan menteri undang-undang dipetik sebagai berkata.
“Antara mereka adalah Kizito Mihigo dan Victoire Ingabire Umuhoza, baki hukuman mereka dibatalkan oleh pihak presiden secara prerogatif berikutan rayuan pengampunan mereka pada bulan Jun tahun ini.”
Ingabire pulang ke Rwanda setelah melarikan diri ke Belanda untuk bertanding jawatan presiden pada tahun 2010.
Beliau adalah pimpinan parti yang mempunyai hubungan dengan FDU.
Beliau bagaimanapun, ditahan dan didakwa menjalankan aktiviti keganasan dan pengkhianatan seterusnya dihukum 10 tahun penjara ketika perbicaraan kontroversi ke atasnya dijalankan.
Ingabire berasal daripada etnik Hutu telah dituduh mempunyai “ideologi genosid” dan “divisionisme” selepas mempersoalkan naratif kerajaan mengenai pembunuhan beramai-ramai pada tahun 1994 yang menyasarkan puak Tutsi. Peristiwa berdarah itu memakan 800,000 nyawa.– AFP, 15 September, 2018.
Komen