Sarawak 'tidak gembira' sambut Hari Malaysia hanya dengan satu jamuan


Desmond Davidson

Jamuan sempena Hari Malaysia diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak malam esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2018

TIDAK seperti tahun sebelum ini, kali ini tiada lagi sambutan awam bagi Hari Malaysia di Sarawak. 

Satu-satunya majlis yang diadakan oleh kerajaan negeri sempena penubuhan Malaysia 55 tahun lalu adalah jamuan di Dewan Undangan Negeri malam esok yang dijangka akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Abdu Taib Mahmud. 

Kumpulan hak asasi Sarawak for Sarawakians (S4S) mencadangkan sambutan hambar tahun ini berpunca daripada “ketidakpuasan hati” dengan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan yang menukar lokasi sambutan dari Kuching ke Kota Kinabalu. 

Naib presiden S4S Tan Kok Chiang dalam satu kenyataan berkata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Abdul Karim Rahman Hamzah “mengecam kerajaan persekutuan” kerana menukar lokasi sambutan “916” pada “saat akhir” dari Sarawak ke Sabah. 

Nombor 916 merujuk kepada 16 September. 

Karim pada sidang media semalam berkata kira-kira 550 tetamu diundang ke majlis jamuan itu. 

“Kami turut mengundang pemimpin dari pembangkang dan juga daripada kumpulan masyarakat sivil,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur. 

Katanya, turut diadakan adalah persembahan pentas dan pertunjukan video mengenai pembentukan Malaysia. 

Bacaan puisi mengenai kepayahan rakyat dan pembentukan Malaysia juga akan dipersembahkan. 

Sementara itu, Tan turut menjemput Karim ke flash mob “Hari Berkabung Sarawak 916” di Padang Merdeka esok pagi. 

Tan berkata adalah satu penghormatan sekiranya Karim memenuhi undangan itu. 

Beliau berkata, ketika kerajaan negeri marah kerana dilucutkan pernghormatan untuk menganjurkan sambutan itu, rakyat sepatutnya lebih sedih dengan sambutan 16 September. 

“Tidak berbaloi sambutan di Sarawak.”

Katanya, ini kerana pembentukan Malaysia telah melucutkan Sarawak daripada “sumber, kekayaan dan martabat”.

“Sarawak telah dilayan dnegan buruk dan dipinggirkan. Sarawak menyumbang semua hasil bumi kepada persekutuan, namun tidak pernah dibalas dengan nilai yang sama.” – 15 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen