Tiada tindakan terhadap Nazri berkempen untuk Anwar di Port Dickson


SM Amin

Ketua Umno Padang Rengas Nazri Aziz bakal berkempen untuk Anwar Ibrahim di PRK Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2018.

UMNO tidak akan mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz walaupun beliau berkempen untuk Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson akan datang.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sentiasa mengalukan-alukan perbezaan pandangan dalam Umno

“Apa perlunya tindakan disiplin pada beliau (Nazri)? Kita tiada masalah jika Nazri menyokong  Anwar di Port Dickson.

“Kita meraikan perbezaan pendapat, apa yang dinyatakan Nazri itu tidak mewakili Umno dan BN secara keseluruhan.

“Tetapi apa yang ditunjukkan Nazri itu adalah pendapat peribadi beliau sebagai Ketua Umno Bahagian (Padang Rengas), kita hormati perbezaan itu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Muktamar Tahunan PAS di Kuala Terengganu.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu sebelum ini menyuarakan hasrat berkempen untuk Anwar dalam usaha mengembalikan Umno dalam kerajaan.

Jelas Nazri, satu-satunya cara untuk Umno segera kembali dalam kerajaan adalah melalui kerjasama dengan PKR dengan memastikan Anwar menang dalam PRK Port Dickson.

Anwar dalam responnya menyambut baik sesiapa sahaja yang berhasrat membantunya pada kempen PRK Port Dickson akan datang.– 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen