PAS sedia kerjasama dengan semua pihak, kata Hadi


SM Amin

PAS akan mengambil pendekatan politik matang dengan semua pihak termasuk seteru politik melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera dan bukannya dengan sikap berkeras, kata Abdul Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2018.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang memberi jaminan bahawa sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama dengan pihak lain termasuk parti politik akan dilakukan tanpa mengorbankan prinsip perjuangan PAS. 

Abdul Hadi berkata, PAS akan mengambil pendekatan politik matang dengan semua pihak termasuk seteru politik melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan bukannya dengan sikap berkeras. 

“Berpandukan ijtihad semasa dalam hal ini, PAS konsisten untuk memilih pendekatan BPMS dengan semua pihak, iaitu dengan bersikap damai terhadap kerajaan Persekutuan.

“PAS juga bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.

“Di sana pastinya ada keperluan untuk PAS membuat keputusan dasar dan strategi politik yang penting, memerlukan kepada kebijaksanaan ahli Majlis Syura Ulama dan AJK PAS Pusat untuk menentukan sikap dan pendirian PAS,” katanya.

Muktamar pagi ini turut dihadiri Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Ismail Sabri, Setiausaha Agung Annuar Musa dan Timbalan Presiden MIC K Devamany. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2018.

Beliau menambah, sikap tersebut perlu ditetapkan dengan “penuh hikmah, mengikut mandat dan kepentingan semasa agar tidak tergelincir daripada dasar, prinsip dan matlamat perjuangannya”.

Tambah Hadi, objektif kerjasama ini adalah untuk mencari titik persamaan dan menangani perbezaan, serta menolak perpecahan walayu ia mungkin mengambil masa lama.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama presiden di Muktamar PAS Tahunan yang turut dihadiri barisan pemimpin tertinggi Barisan Nasional.

Ini merupakan kali pertama pemimpin BN hadir ke muktamar PAS sejak parti Islam itu meninggalkan gabungan parti terseut pada 1977.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Ismail Sabri, Setiausaha Agung Annuar Musa dan Timbalan Presiden MIC K Devamany menghadiri muktamar itu pagi ini. 

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak menyentuh mengenai kemungkinan sama ada PAS akan membentuk kerjasama rasmi dengan Umno.

Hadi turut menyatakan keyakinan bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengotakan janji untuk membayar royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

Presiden PAs Abdul Hadi Awang yakin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengotakan janji untuk membayar royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2018.

Beliau juga berharap kerajaan negeri PAS akan mendapat peruntukan pembangunan, kemudahan prasarana dan peluang pelaburan seimbang.

Bekas ketua pembangkang itu juga berkata PAS akan menggunakan peluang untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.

Tambahnya, ia bagi menghadapi cabaran dari elemen liberal, Islamofobia dan golongan yang menentang institusi Islam, monarki dan hak bumiputera.

Selain itu, cabaran itu juga daripada “mazhab yang menyeleweng, dan hubungan sejenis dilihat semakin berani menzahirkan diri dan bergerak bebas tanpa pengawalan”. – 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen