Taufan Mangkhut badai Filipina


TAUFAN Mangkhut membadai utara Filipina pada Sabtu dengan angin kuat dan hujan lebat, ketika pihak berkuasa memberi amaran kepada jutaan penduduk yang berada dalam laluannya kemungkinan berlakunya kemusnahan besar.

Ribut besar yang dikatakan sebagai taufan paling kuat tahun ini oleh ramalan kaji cuaca, menumbangkan pokok, merobohkan bumbung dan menyebabkan bekalan kuasa terputus di kepulauan Luzon sebelum subuh.

Menuju ke arah barat China melintasi kepulauan yang terdedah kepada bencana, ia membadai dengan kekuatan sehingga 330km (205 batu) sejam tetapi angin semakin melemah sehingga 185km sejam.

“Seboleh mungkin, sila berada di dalam rumah,” Chris Perez, wakil perkhidmatan ramalan kaji cuaca negeri, memberi amaran kira-kira empat juta orang yang berada pada laluan ribut selepas ia membadai pada jam 1.40 pagi (1740 Jumaat GMT).

Kira-kira 20 taufan dan ribut membadai Filipina setiap tahun yang mengorbankan ratusan nyawa dan menyebabkan jutaan lagi berterusan dalam kemiskinan.

Ribuan penduduk meninggalkan kediaman di kawasan berisiko tinggi menjelang ketibaan ribut kerana risiko banjir besar dan tanah runtuh.

Pihak berkuasa memberi amaran ribut pada Jumaat ke tahap kedua tertinggi di wilayah utara Luzon dan mengerahkan pasukan penyelamat.

Tahap amaran yang tinggi membawa risiko kerosakan “sangat besar” kepada komuniti yang dilanda taufan dan ribut yang dijangkakan mencecah enam meter di beberapa kawasan, kata perkhidmatan cuaca. – AFP, 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen