PIHAK berkuasa Amerika Syarikat pada Jumaat mengkelaskan taufan Florence kepada ribut tropika yang masih berbahaya kerana turut membawa bersama hujan lebat tetapi menyaksikan kekuatan anginnya berkurangan sedikit.
Setakat pukul 5.00 petang (2100 GMT), taufan Florence menyebabkan angin ribut tropika selaju 70km sejam, ketika ia membadai Carolina dengan hujan lebat dan ancaman banjir kilat.
Sehingga petang Jumaat, ribut itu mengorbankan empat nyawa, termasuk seorang ibu dan bayinya yang terbunuh ketika sebatang pokok tumbang di rumah mereka di Wilmington, North Carolina.
Walaupun kategorinya turun, Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) memberi amaran “ribut yang mengancam nyawa” akan berterusan hingga malam dengan ramalan banjir di beberapa bahagian Carolina Utara dan Selatan.
Di beberapa kawasan tenggara Carolina Utara jumlah hujan melebihi 16 inci (41 sentimeter) dengan amaran sesetengah kawasan akan menyaksikan peningkatan sehingga 40 inci.
“Ribut ini akan berterusan mengganas di seluruh negeri kita selama beberapa hari,” kata Gabenor Carolina Utara Roy Cooper. “Ribut ini menjejaskan keadaan kita.”
Jeff Byard, pentadbir bersekutu bagi maklum balas dan pemulihan di Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), memberi amaran awal beberapa jam yang “ancaman akan kekal bagi tempoh 24 hingga 36 jam” akibat hujan lebat, ribut dan banjir. – AFP, 15 September, 2018.
Komen