SELEPAS sekian lama bergeser, PAS kini terpaksa terpaksa berbaik-baik dan bekerjasama sebagai pembangkang dengan Umno yang pernah dikafirkannya.
Seolah-olah, persengketaan politik antara Umno dan PAS berdekad lamanya kini hampir tidak kelihatan sama sekali sejak Barisan Nasional buat pertama kalinya hilang kuasa di Putrajaya.
Bibit-bibit hubungan baik kali ini mula dilihat melalui kerjasama dan persefahaman dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) di Selangor – di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.
Sebelum inipun, kedua-dua parti bekerjasama untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.
Namun kerjasama berkenaan masih longgar dan hanya akan dijelaskan melalui mesyuarat agung kedua-dua parti pada bulan ini.
Wakil Umno akan hadir memerhati Muktamar PAS yang akan berlangsung sepanjang hujung minggu ini dan wakil parti Islam itu akan menyertai Perhimpunan Agung Umno.
Antara perkara yang akan diperhatikan pada masa ini adalah sama ada PAS dan Umno akan membentuk satu gagasan baru.

Namun bagi seorang bekas ahli Parlimen yang pernah terlibat dengan kedua-dua parti, isu yang perlu dilihat adalah penerimaan dalam kalangan ahli parti.
Presiden Perkasa, Ibrahim Ali berkata walau ia diterima di peringkat pemimpin atasan, ahli PAS terutama di kalangan di Pantai Timur akan mengambil masa lama untuk tempoh masa yang lama.
“Masalah kerjasama Umno-PAS ini tuntutan agama atau tuntutan politik. Jika untuk memupuk silatulrahim, ia sangat penting untuk menjamin kesejahteraan orang Melayu dan ia sudah berlaku.
“Dari segi politik kerjasama ini masih awal untuk kita lihat. Saya berpendapat terutama penerimaan ahli di Pantai Timur akan mengambil masa yang panjang untuk menerima. Di peringkat atasan tiada masalah,” katanya.
Beliau memberi contoh, kerajasama di antara parti serpihan Umno, Semangat 46 dengan PAS pada tahun 1980-an yang tidak berhasil.
“(Semasa) kerjasama S46 dengan PAS dahulu, orang PAS hanya undi bila nampak logo PAS. Ertinya cukup susah untuk orang PAS undi selain parti PAS,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Namun orang Umno dan parti politik lain tiada masalah untuk mengundi calon PAS, kata Ibrahim seperti yag diperhatikan di PRK Seri Setia baru-baru ini.
Jelasnya, undi PAS meningkat sekali ganda berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, apabila Umno menyokong calon parti Islam itu di PRK Seri Setia.
Ia berbeza di PRK Sungai Kandis sebelumnya, kerana ahli PAS tidak keluar mengundi menyokong calon Umno, kata Ibrahim yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas.
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat Umno dan PAS mampu menggugat kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika kedua-duanya mampu melakukan pembaharuan dalaman parti masing-masing.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi berkata pengundi akan menyokong sekiranya PAS dan Umno bertindak sebagai pembangkang yang kritis dan mampu mengemukakan bukti penyelidikan.
Jelasnya, keadaan semasa PH juga kurang stabil kerana faktor umur Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang sudah berusia 93 tahun dan faktor kesihatan Menteri Keselamatan dalam Negeri, Muhyiddin Tassin.
Selain itu konflik dalaman PKR juga memberi kelebihan kepada gabungan PAS-Umno, kata Awang Azman.
Tambahnya, wacana perkauman yang sering digunakan PAS dan Umno adalah relevan jika menggunakan data dan fakta yang tepat.
“Jika ingin gunakan wacana tersebut, ia mesti disertakan dengan bukti, fakta dan hujah yang meyakinkan dan tepat serta tidak ditafsir secara salah.
“Menggunakan wacana kelemahan kemunduran kaum Melayu tanpa memberikan data dan hanya dijadikan retorik (politik) ia dianggap wacana yang lemah,” katanya.
Malah isu perkauman baik untuk negara jika digunakan untuk menekankan ketidaksamaan antara kaum dalam Malaysia agar pihak pemerintah peka dengan itu tersebut, katanya.
Muktamar Tahunan PAS Pusat berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Terengganu. – 15 September, 2018.
Komen