Anjing pun boleh kenal siapa musuh, kata mursyidul am PAS


SM Amin

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menggesa Dewan Pemuda parti tu menerima kerjasama dengan Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2018

MURSYIDUL Am PAS Hashim Jasin menggesa perwakilan Dewan Pemuda parti itu menerima kerjasama dengan Umno demi menentang DAP yang disifatkannya sebagai musuh lebih utama.

Hashim memberikan contoh kisah dua ekor anjing yang saling berkejaran sesama mereka sambil diperhati seekor serigala, akhirnya dua ekor anjing itu berhenti dan bersama-sama mengejar serigala tersebut.

“Musuh utama mereka bukan sesama anjing tetapi musuh utama mereka serigala. Kedua-dua anjing itu berhenti dan kejar serigala. Itu anjing boleh fikir, kenal musuh.

“Sekarang musuh utama kita siapa dalam suasana sekarang. Orang Melayu berpecah dalam beberapa parti sedangkan bangsa-bangsa lain bersatu dan paling kuat DAP.

“Tolong belajar daripada anjing tadi. Memang kita tidak setuju sebab sudah macam-macam Umno buat dekat PAS selama ini tapi sesuai tak masa ini kita berfikir untuk bergaduh dengan Umno?,” soalnya.

Hashim merupakan pemimpin pertama yang membangkitkan isu kerjasama di antara PAS dan Umno dalam muktamar sulung selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Muktamar berkenaan dinanti-nantikan kerana bakal menjelaskan bentuk sebenar kerjasama antara parti Islam itu dengan Umno, yang kecundang dalam PRU14.

Tambahnya, parti maklum bahawa terdapat perpecahan di peringkat akar umbi berhubung kerjasama PAS dengan Umno dan perkara itu dibincangkan badan tertinggi, Majlis Syura PAS.

Antara penyokong PAS yang hadir pada Muktamar PAS kali ke 64 yang diadakan di Terengganu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 September, 2018

Badan itu memutuskan bahawa kerjasama itu boleh dibuat mengikut keperluan semasa dan ahli perlu menerima perkara itu, katanya.

Tegasnya, ahli perlu memahami mengenai konsep Thawabit iaitu perkara dasar yang tidak boleh berubah dan Muthaghairat, perkara dasar yang boleh berubah.

“Syura sekata dan sependapat dalam tindakan politik yang diambil oleh PAS mutakhir ini adalah sesuatu perkara yang berkait dengan Muthaghairat ertinya boleh merubah mengikut keadaan

“Kalau kita faham (konsep ini), benda kecil ini dalam menentukan dasar yang dibuat oleh parti, InsyaAllah diperingkat akar umbi tidak berlaku perpecahan,” katanya.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika berucap di muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di Duyung Marina Resort Kuala Terengganu hari ini. – 14 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Anjing hanya binatang baik, ta bersalah..

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh MELVILLE JAYATHISSA · Ulasan

    • Ta bersalah macam manusia..

      Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh MELVILLE JAYATHISSA · Ulasan