Jerman sedia bantu bina semula Syria


Syria mengalami kemusnahan yang teruk akibat perang saudara yang tercetus pada 2011 ekoran kebangkitan kumpulan penentang Presiden Bashar al-Assad. – Gambar EPA, 14 September, 2018.

JERMAN sedia memberi sumbangan untuk membina semula Syria jika penyelesaian politik dapat dilaksanakan menerusi pilihan raya yang adil di negara itu.

Menteri Luarnya, Heiko Maas berkata demikian beberapa jam sebelum beliau bertemu dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavrov di Berlin.

Kenyataan itu sebagai mengulas permintaan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Ogos lalu yang meminta negara Eropah untuk membantu membina semula Syria.

“Jika ada penyelesaian politik di Syria yang membawa ke arah pilihan raya bebas, kami sedia mengambil tanggungjawab untuk membina semula negara itu,” kata Maas menerusi laman Twitter.

“Adalah satu kepentingan buat kami untuk menjadikan Syria sebagai negara yang stabil. Untuk itu, pembinaan semula adalah penting. Kami mempunyai peranan penting untuk tugas itu.”

Pada masa sama, Maas turut mengulas permintaan Berlin kepada Moscow untuk menggunakan pengaruh negara itu agar mendesak Presiden Syria Bashar al-Assad agar berundur daripada terus menggempur kubu penentang di Idlib.

“Saya akan menyampaikan permintaan kami kepada Lavrov supaya tiada operasi ketenteraan besar-besaran dijalankan ke atas Idlib,” katanya.

Rusia menyokong tentera Syria dalam menggempur kubu penentang di Idlib sejak beberapa minggu lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap serangan udara dan darat dalam usaha merampas semula wilayah itu.

Semasa lawatan di Berlin pada Ogos lalu, Putin meminta Eropah untuk menyalurkan dana bagi pembinaan semula Syria, sekali gus membolehkan berjuta-juta pelarian pulang ke rumah masing-masing.

“Kita perlu memperkukuhkan usaha kemanusiaan dalam konflik di Syria,” katanya.

Jerman memberi perlindungan kepada lebih sejuta pencari suaka politik sejak 2015 termasuk dari Syria dan Iraq. – AFP, 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen