Erdogan akan bertemu Putin bincang isu Syria 


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan (kanan) dan Presiden Rusia Vladimir Putin minggu lalu gagal mencapai persetujuan untuk gencatan senjata melalui sidang kemuncak tiga hala di Tehran yang turut melibatkan presiden Iran, Hassan Rouhani (tengah). – Gambar EPA, 14 September, 2018

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan akan mengadakan pertemuan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin pada Isnin, menurut kenyataan rasmi negara itu.

Pertemuan itu diadakan ketika kebimbangan antarabangsa memuncak berhubung serangan kerajaan Syria ke atas wilayah yang dikuasai pemberontak di sempasan Turki. 

“Presiden Erdogan akan bertemu Putin pada Isnin,” kata Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu pada sidang media hari ini. 

Pertemuan itu dijangka akan diadakan di bandar peranginan Sochi di Rusia, kata pegawai kanak kerajaan Turki kepada AFP. 

Tentera rejim Syria yang disokong Rusia melancarkan serangan di wilayah Idlib sejak beberapa minggu lalu, mencetuskan kebimbangan akan berlaku serangan udara dan darat untuk merampas semula benteng kedudukan terakhir pemberontak. 

Agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan organisasi bantuan berulang kali memberi amaran serangan sedemikian akan mencetusan bencana kemanusiaan paling teruk dalam peperangan yang berlarutan sejak tujuh tahun lalu di Syria. 

Turki meningkatkan rundingan dengan Rusia untuk mengelakkan kemungkinan serangan dan berulang kali menggesa agar gencatan senjata diadakan. 

Bagaimanapun, Erdogan dan Putin minggu lalu gagal mencapai persetujuan untuk gencatan senjata melalui sidang kemuncak tiga hala di Tehran yang turut melibatkan presiden Iran Hassan Rouhani. 

Rusia dan Iran merupakan sekutu utama kepada rejim Syria Bashar al-Assad.  – AFP, 14 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen