WAKIL Dewan Pemuda PAS mendakwa kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai prestasi anggota kabinet yang tidak memuaskan ditujukan kepada Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
Wakil Kelantan, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim mendakwa demikian dengan mengaitkan tindakan Maszlee melantik ahli kumpulan bekas penjawat awam, G25 menganggotai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).
Beliau mendakwa, tindakan tersebut memperjudikan masa depan bangsa Melayu.
“Usaha yang dibuatkan oleh menteri pendidikan dengan melantik ahli G25 sebagai ahli majlis penasihat pendidikan kebangsaan. Ini orang yang tidak sensitif.
“Mungkin kenyataan daripada perdana menteri yang tidak berasa gembira dengan prestasi menteri, saya yakin kenyataan ini ditujukan kepada menteri pendidikan,” katanya.
PAS diketahui sering bergeser dengan G25 kerana NGO itu banyak membangkitkan saranan progresif, termasuk pindaan ke atas peruntukan undang-undang syariah yang didukung parti Islam itu.
Anggota G25 yang dilantik Maszlee sebagai salah seorang ahli MPPK adalah Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim.

Turut mengecam pelantikan tersebut adalah wakil Selangor, Muhammad Hanif Jamaludin yang mendakwa Azimah sering membawa pemikiran yang liberal dan boleh menjejaskan masa depan anak-anak.
Katanya, walaupun Azimah layak menganggotai MPPK, beliau risau manfaat yang diperolehi daripadanya terlalu sedikit berbanding kerosakan yang mungkin dilakukan bekas birokrat itu.
“Kumpulan G25 begitu lantang dalam memberikan idea-idea bersifat liberal di antaranya mereka pernah mencadangkan untuk menghapuskan kuasa dalam Jakim.
“Azimah pernah bersetuju dengan lagu Despacito yang kalau kita tengok video klipnya boleh tercabut kopiah. Bayangkan kalau ini yang ada dalam sistem pendidikan, maka bagaimana dengan keadaan anak-anak.
Wakil berkeaan membahaskan usul pendidikan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS di Duyung Marina Resort, di Kuala Terengganu hari ini. – 14 September, 2018
Komen