PERMINTAAN Sarawak untuk menambah royalti minyak daripada 15% kepada 20% semakin sukar dipenuhi.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata kepada ahli Parlimen pembangkang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) bahawa beliau terpaksa ‘menyimpan’ dahulu janji Pakatan Harapan (PH) berhubung royalti minyak itu.
Bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof yang mengetuai 15 ahli Parlimen GPS ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap perdana menteri di Yayasan Pemimpin Perdana di Putrajaya semalam, berkata terdapat beberapa ‘halangan’ untuk menunaikan janji royalti itu seperti dimaklumkan Dr Mahathir.
Terdahulu kesemua ahli Parlimen itu bertemu Ketua Menteri Abang Johari Openg di pejabat beliau di Kuching hari ini untuk membincangkan hasil pertemuan dengan Dr Mahathir.
Fadillah yang kini merupakan ketua whip GPS di Parlimen, tidak menjelaskan ‘halangan’ yang dimaksudkan tetapi Menteri Hal Ehwal Ekonommi Mohamed Azmin Ali pada Julai lalu berkata Petronas akan bankrap jika menunaikan permintaan Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan 20% royalti minyak.
Azmin turut mengulangi pendirian yang sama dalam jawapan bertulis kepada ahli Parlimen Tuaran dan Presiden UPKO Madius Tangau yang meminta penjelasan tentang janji kerajaan PH berhubung pemberian 20% royalti.

Azmin berkata beliau akan bersemuka dengan negeri-negeri pengeluar minyak untuk membahaskan bahawa pemberian royalti perlu dibuat berdasarkan keluaran kasar, bukannya keuntungan bersih.
Fadillah bagaimanapun berkata Sarawak mempunyai strategi untuk mengatasi isu tersebut.
Beliau enggan mendedahkan strategi berkenaan tetapi memberi bayangan bahawa syarikat petroleum negeri Petroluem Sarawak Berhad (Petros) masih meneruskan rundingan dengan Petronas berhubung peranan baharu Petronas di Sarawak dan formula perkongsian minyak yang sepatutnya dilaksanakan.
Petronas yang tidak lagi boleh menjalankan operasi seperti biasa susulan pindaan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 pada Julai lalu, diberi masa sehingga hujung tahun untuk mengemukakan formula perkongsian sumber kepada Sarawak.
Sarawak tidak mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana akta itu memberi hak penuh kepada Petronas untuk semua sumber gas dan minyak yang ditemui di negara ini. – 14 September, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen