PERDANA Menteri Australia, Scott Morrison, telah memberi amaran kepada pendahulunya, Malcolm Turnbull, agar berhenti mengambil tindakan yang boleh melemahkan kerajaan, lapor agensi berita China Xinhua memetik akhbar rasmi The Australian pada Jumaat.
Menurut The Australian, pejabat Morrison telah menghubungi Turnbull, “bagi mencari satu detente (peredaan ketegangan) selepas berminggu-minggu membocorkan maklumat yang boleh membawa kerosakan kepada kerajaan baharu Morrison.”
Ia dibuat selepas Turnbull pada Khamis menggesa kerajaan agar merujuk Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Peter Dutton, ke Mahkamah Tinggi berhubung kebimbangan bahawa beliau melanggar Perlembagaan Australia dan (oleh itu) adalah tidak layak untuk berkhidmat dalam parlimen.
Kakitangan Morrison dikatakan telah memberi amaran kepada Turnbull bahawa komentar beliau dalam media sosial berkaitan saga Dutton telah “menyebabkan masa depan kerajaan berdepan risiko yang serius.”
Morrison menggantikan Turnbull sebagai perdana menteri selepas Parti Liberal yang memerintah pada bulan Ogos mengundi untuk menyingkirkan Turnbull sebagai pemimpin dan melantik Morrison.
Turnbull bersara daripada politik selepas itu. – Bernama, 14 September, 2018.
Komen