Bekas pengerusi kempen Trump setuju runding pengakuan bersalah 


Paul Manafort didapati bersalah atas lapan daripada 18 pertuduhan jenayah membabitkan kesalahan penipuan bank dan cukai di mahkamah persekutuan di utara Virginia. – Gambar EPA, 14 September, 2018.

BEKAS pengerusi kempen Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Paul Manafort, secara tentatif telah bersetuju untuk melakukan rundingan bagi pengakuan bersalah dengan Peguam Khas Robert Mueller, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media pada Khamis.

Menurut laporan ABC yang memetik kenyataan sumber, rundingan itu dijangka diumumkan pada Jumaat di Mahkamah Persekutuan di Washington DC, sebelum perbicaraan keduanya bermula akhir bulan ini.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada Manafort telah bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak pendakwaan atau hanya bersetuju untuk membuat pengakuan bersalah, yang akan membolehkan beliau mengelak prosiding perbicaraan keduanya.

Laporan CNN menyebut meskipun satu rundingan telah dijangka, sumbernya memberi amaran bahawa kedua-dua pihak mempunyai hubungan erat sebelum ini.

Bulan lepas, Manafort didapati bersalah atas lapan daripada 18 pertuduhan jenayah membabitkan kesalahan penipuan bank dan cukai di mahkamah persekutuan di utara Virginia. 

Lima daripada keputusan itu membabitkan kesalahan memfailkan dokumen cukai palsu manakala tiga lagi adalah berkaitan pendaftaran akaun bank asing dan penipuan bank.

Kesemua pertuduhan ini kebanyakannya berasal dari masa Manafort bekerja dengan seorang pemimpin pro-Rusia di Ukraine sebelum pilihan raya AS pada 2016. 

Bagaimanapun, perbicaraan pertama tidak menyebut secara khusus dakwaan berhubung sebarang pakatan sulit antara sekutu-sekutu atau pegawai-pegawai Trump dan Kerajaan Rusia.

Berusia 69 tahun dan merupakan pelobi veteran, Manafort menyertaia pasukan kempen Trump pada Mac 2016 dan meluangkan masa selama tiga bulan sebagai pengerusi kempen Trump sehingga pertengahan bulan Ogos tahun yang sama. – Bernama, 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen