Pegawai AS, Cuba bincang insiden 'serangan akustik'


Insiden itu membawa kepada penutupan sebahagian Kedutaan AS di Cuba, selain 15 diplomat Cuba yang bekerja di kedutaan di Washington dihantar pulang ke negara asal. – Gambar EPA, 14 September, 2018.

PEGAWAI Amerika Syarikat (AS) dan Cuba bertemu di Washington pada Khamis bagi membincangkan isu “serangan akustik”, menurut Jabatan Negara AS.

Pegawai terdiri pakar perubatan AS itu, berbincang mengenai beberapa isu perubatan berhubung kait dengan serangan itu, kata jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert.

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai butiran mesyuarat tersebut, lapor agensi berita Xinhua.

“Kami masih tidak tahu puncanya atau siapa bertanggungjawab melakukan serangan yang telah menjejaskan kakitangan kami di Cuba itu,” katanya.

Sebelum in, Washington mendakwa sejak November 2016, sekurang-kurangnya 25 diplomat AS di Kedutaan di Havana mengalami masalah kesihatan, seperti gangguan pendengaran, mual, sakit kepala serta hilang keseimbangan badan. 

Insiden itu membawa kepada penutupan sebahagian Kedutaan AS, selain 15 diplomat Cuba yang bekerja di kedutaan di Washington dihantar pulang ke negara asal.

Cuba sejak awal menafikan tuduhan tersebut serta memulakan siasatan untuk mengenal pasti kejadian sebenar dan mendesak AS mengemukakan bukti. 

Serangan itu dikatakan dilakukan dengan menggunakan beberapa jenis peranti akustik. – Bernama, 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen