Kos sara hidup naik, perniagaan pajak gadai makin berkembang


Noel Achariam

KETIKA tekanan ekonomi semakin dirasai, mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana menjadi golongan paling terkesan sehingga terpaksa bergolok bergadai bagi memenuhi keperluan hidup.

Sejak berzaman dulu, kedai pajak gadai menjadi cara cepat dan mudah untuk seseorang yang terdesak mendapatkan wang – dengan syarat ada barang berharga untuk dijual.

Tidak seperti bank, kedai pajak memberikan wang tunai tanpa perlu membuat pemeriksaan kredit dan meminta bukti pekerjaan serta pendapatan.

Pemandu teksi, R. Segar, 49, berkata dia terpaksa memajak barangan kemas milik keluarga untuk membayar hutang bulanan pinjaman perumahannya.

“Perniagaan teksi tidak berapa bagus sekarang dan saya paling bimbang tentang pembayaran ansuran bulanan rumah saya.

“Saya mula buat kerja ubah suai untuk cari duit lebih, tetapi itu pun tidak cukup,” katanya yang menetap di Ampang.

Segar berkata dia juga kadangkala memajak barang kemas isterinya untuk membayar keperluan persekolahan anak mereka.

Mereka mempunyai tiga anak berumur 8, 13 dan 15.

“Jika anak perlukan barang sekolah seperti buku teks, jadi saya perlu dapatkan wang dengan cepat. Paling mudah ialah pajakkan barang kemas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Segar berkata sehingga kini, barangan berharga miliknya yang sudah digadai mencecah nilai RM20,000.

Walaupun lebih ramai beralih pada skim pajak gadai Ar Rahnu, kedai pajak biasa tetap menikmati tambahan 20% hasil perniagaan pada masa ini berbanding tiga tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Ogos, 2017.

Shukri Abdul Latiff, 37, yang bekerja sebagai katerer berkata dia tidak dapat mencari wang lebih daripada kerja lebih masa kerana perniagaan agak perlahan.

“Kami tidak dapat banyak tempatan katering. Kerja lebih masa saya juga dipotong, jadi jika saya tiba-tiba ada kecemasan dan perlukan wang tunai, saya terpaksa ke kedai pajak,” katanya.

Shukri, yang tinggal di Kajang berkata terbaru dia terpaksa ke kedai pajak pada seminggu sebelum Aidilfitri.

“Saya perlukan wang untuk sambutan raya. Saya kena beli baju baharu untuk tiga anak dan beri duit raya. Susah keadaannya bila kami tidak ada duit untuk raya,” katanya.

Shukri berkata bayaran bulanan pinjaman rumah dan kereta menjadi sebab lain untuk ke kedai pajak.

“Saya biasanya pergi ke kedai pajak konvensional tetapi sekarang sudah bertukar ke Ar Rahnu (kedai pajak Islamik) di bawah Bank Rakyat. Ia lebih bagus dan caj lebih rendah,” katanya.

Pajak gadai biasa mengenakan bayaran faedah bulanan 2% sementara Ar Rahnu mengenakan yuran 65 sen bagi setiap RM100 nilai emas yang dipajak, sehingga RM1,000, dan 75 sen bagi setiap RM100 untuk nilai lebih tinggi.

Kedai pajak itu juga akan melelong barangan itu jika tidak ditebus semula selepas enam bulan, tetapi Ar Rahnu akan menyimpannya sehingga 18 bulan.

Jika barangan tidak diambil selepas tamat tempoh, Ar Rahnu akan melelong barang itu dan mengembalikan lebihan wang tunai kepada pelanggan jika jumlah lelongan lebih tinggi berbanding pinjaman.

Namun, walaupun lebih ramai beralih pada Ar Rahnu, kedai pajak biasa tetap menikmati tambahan 20% hasil perniagaan berbanding tiga tahun lalu.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Malaysia mempunyai 438 kedai pajak pada 2015 dan 492 pada Julai.

Dari 2014 hingga tahun lalu, KPKT menerima 179 permohonan dan meluluskan 105 kedai pajak baharu dibuka.

Selangor mempunyai jumlah pajak gadai paling banyak iaitu 113, diikuti Johor (68), Perak (50), Kedah (44) dan Pulau Pinang (41).

KPKT berkata 23 kedai pajak kini dalam siasatan atas kesalahan melanggar peraturan pengiklanan, ketiadaan permit dan kegagalan menghantar laporan transaksi tahunan. – 5 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen



  • Pinjaman untuk pelbagai tujuan
    Kami menawarkan jumlah minimum sebanyak RM5,000.00 kepada RM5 juta
    Pada kadar faedah yang rendah sebanyak 2%
    Pinjaman
    Tempoh: sehingga 25 tahun bergantung kepada jumlah pinjaman yang anda perlukan.
    Pelanggan mestilah
    Lebih dari umur 18 tahun
    Transaksi ini 100% selamat untuk semua orang
    Untuk maklumat lanjut tentang kredit, sila hubungi kami melalui e-mel:
    ([email protected])

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Davies ruth · Ulasan