Perancis beri amaran kepada Syria jangan guna senjata kimia


Ketumbukan tentera pemerintah yang disokong Rusia sudah mengepung Idlib sejak beberapa minggu lalu, mencetuskan kebimbangan yang serangan udara dan darat besar-besaran akan berlaku di kubu kuat pemberontak terakhir itu. – Gambar EPA, 13 September, 2018.

SEBARANG serangan senjata kimia di kubu kuat terakhir pemberontak Syria akan mencetuskan “kesan buruk” untuk pemerintah di Damsyik, kata Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian di Beijing pada Khamis.

Ketumbukan tentera pemerintah yang disokong Rusia sudah mengepung Idlib sejak beberapa minggu lalu, mencetuskan kebimbangan yang serangan udara dan darat besar-besaran akan berlaku di kubu kuat pemberontak terakhir itu.

Bercakap di sidang media bersama rakan sejawat China, Wang Yi, Le Drian berkata sebarang penggunaan senjata kimia akan mencetuskan tindakan serta merta Paris.

“Perancis beri amaran menentang penggunaan senjata kimia,” katanya, menyifatkan ia sebagai “garis sempadan”.

Rejim Assad dua kali menjadi sasaran udara dan peluru berpandu AS selepas didakwa menggunakan senjata kimia, dan AS sudah mengeluarkan kenyataan akan melakukan serangan tambahan jika Assad menggunakan senjata kimia di Idlib.

AS melancarkan serangan peluru berpandu ke pangkalan tentera udara Syria pada April 2017 selepas wujud bukti senjata kimia digunakan di Idlib, sementara serangan kedua disokong Britain dan Perancis berlaku April tahun ini.

Le Drian berkata apa sahaja serangan senjata kimia di Idlib “akan mencetuskan kesan buruk seperti yang kita tahu berlaku pada April”.

Ketua PBB Antonio Guterres pada Rabu memberi amaran kepada Syria dan penyokongnya tentang serangan besar-besaran di Idblib, berkata “ia tidak boleh jadi pertumpahan darah.”

Sepanjang perang saudara tujuh tahun itu, 350,000 nyawa sudah terkorban, tentera Syria berulang kali dituduh menggunakan senjata kimia dalam serangan ke kawasan pemberontak termasuklah klorin dan gas saraf sarin.

Pemerintah dan Rusia berulang kali menafikan dakwaan itu, sebaliknya menyalahkan pemberontak.

Tetapi siasatan antarabangsa mendapati sekurang-kurangnya tiga serangan pemerintah melepaskan senjata kimia kepada orang awam, dan pengganas IS juga dituduh melepaskan gas saraf mustard. – AFP, 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen