KAKITANGAN kabin Ryanair dari lima negara Eropah akan mengadakan mogok pada 28 September yang boleh menjejaskan ratusan penerbangan, kata Kesatuan Sekerja di Belgium pada Khamis.
Kakitangan dari Belgium, Belanda, Itali, Sepanyol dan Portugal akan mengadakan mogok yang menghentikan operasi syarikat Ireland itu, kata CNE selepas mesyuarat beberapa kesatuan sekerja di Brussels.
“Malangnya, perbincangan tiada keputusan,” kata delegasi CNE Yves Lambot kepada AFP mengenai mesyuarat dengan pengurusan Ryanair itu.
Pekerja Ryanair- juruterbang, kakitangan lapangan terbang dan anak kapal-menuntut persekitaran kerja ditambah baik dan kontrak mereka berdasarkan undang-undang negara mereka tinggal berbanding Ireland.
“Mereka berjanji untuk mengubah kontrak kami kepada kontrak nasional pada 2022. Itu terlalu lama. Kami mahu 2019,” kata Lambort.
Tidak berapa lama selepas pengumuman di Brussels itu, Ryanair menegaskan mogok itu akan gagal mencetuskan “kucar kacir perjalanan”.
“Majoriti penerbangan dan perkhidmatan Ryanair pada hari itu akan beroperasi seperti biasa,” kata Ketua Pegawai Pemasaran Ryanair Kenny Jacobs dalam satu kenyataan.
Mogok 28 September akan menjadi mogok terbesar pernah dilakukan kesatuan sekerja itu dalam sejarah syarikat.
Ia berlaku selepas mogok pada Ogos di lima negara memaksa pembatalan 400 penerbangan pada musim perayaan menjejaskan 55,000 penumpang.
Pada Rabu, syarikat itu turut terjejas apabila kakitangan Jerman mogok menyebabkan pembatalan 150 daripada 400 penerbangan.
CEO Ryanair Michael O’Leary menyifatkannya sebagai “kegagalan”.
“Kami tak mudah seperti EasyJet, kami tak akan tunduk setiap kali kamu ancam dengan mogok,” katanya kepada wartawan di London mengejek pesaing syarikat itu. – AFP, 13 September, 2018.
Komen