Pemimpin kanan PKR masih tak puas hati dengan Langkah PD


Langkah Port Dickson untuk memberi ruang kepada Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen masih mewujudkan rasa tak puasa hati dalam kalangan pemimpin kanan yang mendakwa tidak dimaklumkan perkara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2018.

PARA pemimpin kanan PKR masih tidak berpuas hati dengan keputusan parti mengosongkan kerusi Port Dickson untuk ditandingi presidennya, Anwar Ibrahim.

Antaranya, naib presiden Tian Chua yang kesal kerana keputusan itu tidak dimaklumkan mesyuarat biro politik Selasa lalu, lapor Berita Harian Online hari ini.

Katanya, beliau hadir ke mesyuarat itu tetapi tetapi tiada seorangpun dalam biro terbabit mengesahkan secara tepat keputusan berkenaan dicapai pada malam tersebut.

Malah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution pada mesyuarat itu hanya memaklumkan bahawa kerusi yang akan ditandingi Anwar itu sudah diputuskan.

“Satu-satunya perkara yang Saifuddin berkata ketika mesyuarat adalah kerusi (yang akan dikosongkan) sudah diputuskan dan akan diadakan sidang media keesokan harinya (Rabu).

“Kemudian (seperti diumumkan pada sidang media) barulah jelas ini (kerusi Port Dickson yang dikosongkan) sudah dibincangkan lebih awal,” katanya dipetik akhbar itu.

Seorang lagi pemimpin kanan parti itu, Amirudin Shari berkata tiada mesyuarat rasmi diadakan berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, yang kini popular dengan nama jolokan Langkah PD. 

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata tindakan tersebut mungkin adalah satu strategi parti namun beliau tidak pasti berkenaan perkara itu.

“Sekarang ini saya tunggu mesyuarat rasmi kenapa keputusan itu dibuat. Selalunya apabila ada PRK dan sebagainya, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik.

“Namun, dalam mesyuarat yang lalu saya ada bertugas di Lumut, Perak. Saya tidak pasti apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu,” katanya lapor Berita Harian Online.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang antara mereka yang lantang mengecam Langkah PD, menyifatkannya tidak dibuat melalui perbincangan kepimpinan tertinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2018.

Amirudin bagaimanapun berkata beliau akan tetap berusaha berkempen agari parti menang kerana itu menjadi tanggungjawabnya.

Saifuddin semalam dilaporkan berkata, keputusan mengosongkan kerusi itu sudah diputuskan melalui Biro Politik PKR.

Tambahnya, biro tersebut turut dianggotai Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

Zuraida juga semalam menyatakan kekesalan kerana tidak dimaklumkan dengan jelas mengenai rancangan untuk Anwar bertanding di kerusi Port Dickson.

Beliau malah menganggap usaha tersebut seolah-olah dilakukan “kongsi gelap” kerana keputusan tersebut dirahsiakan.

“Saya khuatir, sekiranya proses membuat keputusan tidak dijalankan dengan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat dan seolah-olah memperlihatkan PKR telah dimanipulasi oleh kelompok tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyandang kerusi Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah semalam mengumumkan mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi ruang kepada Anwar Ibrahim untuk kembali semula ke Parlimen. – 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen