ULAMA PAS perlu memimpin perpaduan umat di negara ini seperti mana yang dilakukan Nabi Muhammad dalam hijrahnya ke Madinah dengan membina kesatuan penyokong dan pendukung, kata Ketua Dewan Ulama PAS Malaysia, Mahfodz Mohamad
Mahfodz berkata, apa sahaja hubungan dirancang PAS sama ada dengan parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO), perlu dipastikan dapat memberi manfaat kepada umat Islam.
“Antara perkara awal yang dilakukan Rasullullah apabila tiba di Madinah adalah membina kesatuan penyokong dan pendukung kerana realiti sesebuah negara mengandungi lima aspek iaitu rakyat, pemimpin, perlembagaan undang-undang, kedaulatan dan tanah air.
“PAS meletakkan asas perpaduan menerusi apa sahaja jalinan kerjasama, mestilah mendatangkan keuntungan kepada Islam dan menjaga kepentingan umat.
“Oleh itu dalam apa jua jalinan kerjasama PAS dengan mana-mana pihak sama ada parti politik atau NGO, mesti di atas syarat-syarat yang ditetapkan dan diluluskan Majlis Syura PAS,” katanya dalam ucaptama Dewan Ulama PAS di Kuala Terengganu hari ini.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebelum ini melihat kerjasama antara parti Islam itu dengan Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia baru-baru ini sebagai satu isyarat kepada lebih banyak keputusan besar pada masa depan, untuk kedua-dua parti.
Malah kata Abdul Hadi, beliau yakin sebarang keputusan pucuk pimpinan parti itu berhubung kerjasama dengan Umno akan diterima anggota akar umbi kerana ahli PAS mengamalkan sikap taat dan akur kepada pimpinan parti.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mahfodz berkata perbincangan mengenai kerjasama tersebut setakat ini baru diperingkat pimpinan tertinggi parti dan belum ada sebarang perbincangan bersama Umno.
Tegas beliau, tiada sebarang resolusi mengenai kerjasama dengan Umno oleh Dewan Ulamak kerana perlu mendengar suara daripada akar umbi terlebih dahulu.
“Tidak ada perbincangan dengan Umno namun ada dibincangkan di kalangan pemimpin PAS.
“Menyatukan umat Islam Melayu adalah prinsip Islam yang harus kita semua patuhi terutamanya apabila melibatkan kerjasama politik.
“Pertembungan antara PAS dan Umno sudah bertahun-tahun dan oleh itu sebarang perbincangan mengenai kerjasama akan mengambil masa, selama 6-12 bulan mengikut peringkat,” katanya.
Mahfodz juga membidas tindakan segelintir pihak sebelum ini yang menyifatkan soal pemiihan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu bukan soal memilih agama.
“Apabila datang seseorang meminang yang kamu redha agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah ia. Jika tidak akan berlaku fitnah dan kerosakkan yang besar.
“Dalam soal pembentukan keluarga yang membina komuniti kecil, maka apatah lagi membangunkan negara yang lebih besar, sudah pasti dasarnya berpaksikan agama Islam.
“Kesannya boleh dilihat sekarang dengan pelbagai isu yang tidak menyenangkan seperti pertikaian sebatan syariah dan gagal menangani pergerakan LGBT,” ujarnya.– 13 September, 2018.
Komen