BEKAS presiden El Salvador Elias Antonio Saca, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai 301 juta dolar, semasa menerajui pentadbiran negara dari 2004 hingga 2009.
“Beliau adalah presiden pertama El Salvador yang disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah,” kata pejabat Peguam Negara menerusi Twitter.
Menurut pejabat Peguam Negara itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas setiausaha sulit, Elmer Charlaix kerana kesalahan yang sama.
Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Julio Rank dan presiden syarikat air negara, Cesar Funes menerima hukuman lima tahun penjara.
Saca, akan menjalani tempoh lapan tahun lagi memandangkan beliau sudah ditahan selama dua tahun.
Bekas presiden itu mengaku bersalah melakukan kesalahan menggelapkan wang dan pengubahan aset bagi mendapatkan hukuman lebih ringan.
Di bawah undang-undang negara, kesalahan dilakukan Saca boleh dikenakan hukuman maksimum 25 tahun penjara, selain itu beliau turut diperintahkan memulangkan semula asetnya bernilai AS$260.7 juta. – Bernama, 13 September, 2018.
Komen