Korea Selatan dan Utara mulakan rundingan


Delegasi ketenteraan yang terdiri tiga anggota dari setiap pihak itu diketuai pegawai kolonel, memulakan rundingan pada 10 pagi waktu tempatan (0100 GMT) di Tongilgak, sebuah bangunan Korea Utara di Panmunjom. – Gambar EPA, 13 September, 2018.

KOREA Selatan dan Korea Utara memulakan rundingan peringkat kerja, mengenai hal ehwal ketenteraan pada Khamis di Panmunjom, lapor agensi berita Xinhua, memetik Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

Delegasi ketenteraan yang terdiri tiga anggota dari setiap pihak itu diketuai pegawai kolonel, memulakan rundingan pada 10 pagi waktu tempatan (0100 GMT) di Tongilgak, sebuah bangunan Korea Utara di Panmunjom.

Rundingan tersebut menjelang sidang kemuncak antara Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, yang dijadual berlangsung di Pyongyang selama tiga hari bermula 18 September.

Antara yang dibincangkan, kaedah untuk meredakan ketegangan, termasuk percubaan mengurangkan pos kawalan keselamatan di zon bebas tentera (DMZ), yang memisahkan Semenanjung Korea.

Turut menjadi agenda rundingan ialah pelucutan senjata di Kawasan Keselamatan Bersama (JSA) di Panmunjom dan pencarian mayat tentera yang dibunuh semasa Perang Korea 1950 hingga 1953.

Isu-isu tersebut telah dipersetujui kedua-dua pihak semasa rundingan tentera peringkat am pada akhir Julai. – Bernama, 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen