HONG Kong kini bersiap sedia menghadapi taufan Mangkhut yang diramal membadai pada hujung minggu ini, dan mungkin menjadi taufan tropika terkuat untuk tempoh beberapa dekad, lapor Xinhua.
Mangkhut diramal lebih kuat berbanding taufan Wanda yang melanda pada 1962 dan taufan Hato.
Pada Rabu Balai Cerap Hong Kong mengeluarkan amaran taufan isyarat tiga berikutan ribut tropika Barijat, kemudian ditarik balik pada Khamis tetapi menjangkakan Mangkhut akan lebih mengganas.
Susulan itu, Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) mengadakan mesyuarat pada Rabu membabitkan pelbagai jabatan dan organisasi kerajaan yang berkaitan.
Ramalan terkini Balai Cerap, Mangkhut dengan kekuatan angin maksimum pada 240 kilometer sejam dijangka melalui Laut China Selatan pada Sabtu dan menghampiri Hong Kong keesokannya.
“Ia boleh memberikan ancaman besar di pantai Guangdong. Mangkhut dijangka membawa cuaca buruk dengan hujan lebat, laut bergelora dan angin kencang.”
Orang ramai dinasihatkan senantiasa berjaga-jaga dan mengikuti perkembangan terkini mengenai Mangkhut.
Di samping itu, beberapa syarikat penerbangan berpangkalan di Hong Kong mengumumkan pengecualian yuran tempahan bagi penumpang yang dijadual berlepas pada Ahad dan Isnin. – Bernama, 13 September, 2018
Komen