Peguam berpengaruh di jalan salah


The Malaysian Insight

Peguam terkenal Shafee Abdullah kini berada di tempat yang sukar di bawah pentadbiran kerajaan baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Septeber, 2018.

PERDANA menteri, tokoh korporat dan individu yang terlibat dengan kegiatan jenayah sering dikaitkan dengan Shafee Abdullah. Semuanya percaya jika keadaan mendesak, Shafee pasti ada alasan untuk mempertahankan lantas memenangi kes mewakili mereka

Dalam banyak kes, beliau berjaya, dan seterusnya meningkatkan reputasinya di kalangan mereka dan turut menerima habuan jutaan ringgit.

Kadang-kadang, persepsi adalah segala-galanya di Malaysia, dan Shafee mendapat untung daripada persepsi bahawa beliau berada dalam lingkungan berpengaruh dalam negara.

Peguam itu dengan senang hati memetik beberapa nama dan membiarkan semua orang —dari kalangan hakim dan teman-temannya—tahu bahawa beliau memegang tanggungjawab membereskan urusan perdana menteri.

Nampaknya, beliau senang dengan keadaan itu semasa Najib mengetuai pentadbiran, sebelum jatuhnya kerajaan Barisan Nasional.

Beliau juga mengetuai sebuah rombongan ke Amerika Syarikat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Najib Razak dinamakan “siasatan Jabatan Kehakiman AS terhadap 1Malaysia Development Berhad.”

Usaha itu gagal, dan ia hanya dapat menyatakan hakikat bahawa Shafee memang orang suruhan Najib. Shafee diterima menjadi peguam pada 26 April 1985. Bermula dari saat itu, beliau bekerja di Pejabat Peguam Negara selama tujuh tahun dan juga sebagai timbalan pendakwa raya dan peguam kerajaan.

Pada 2014, beliau dilantik bekas peguam negara Abdul Gani Patail untuk mengetuai pendakwaan dalam kes Liwat II Anwar Ibrahim. Tokoh itu kemudian didapati bersalah. Shafee juga menimbulkan kemarahan Majlis Peguam apabila beliau menjelajah negara setelah perbicaraan untuk membincangkan kes tersebut.

Beliau kemudian dirujuk ke Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam (ASDB). Shafee menyaman Majlis Peguam namun akhirnya kalah.

Beliau turut menjadi peguam untuk Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan seorang warga Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Beliau pernah menjadi peguambela penjenayah terkenal Koo Tee Yam yang menguasai aktiviti-aktiviti haram di Kuala Lumpur seperti pinjaman haram, barangan cetak rompak, pelacuran, dadah, dan judi haram serta kes bunuh. Shafee berjaya membebaskan Koo daripada menjadi tahanan di Simpang Renggam.

Shafee sekali lagi jadi perhatian media ketika muncul mewakili Najib yang didakwa menjalankan aktiviti pengubahan wang haram, penipuan dan penyalahgunaan kuasa berhubung RM42 juta yang ditemui dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya dari anak syarikat 1MDB, SRC International.

Di mahkamah hari ini, Shafee didakwa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan dakwaan mengelak cukai berhubung sejumlah RM9.5 juta yang diterimanya daripada Najib.

Beliau mendakwa tuduhan itu tidak berasas dan beliau dimangsakan.

Tuduhan itu akan menjadi beban dan bukan lagi perkara mudah bagi peguam berpengaruh itu.

Jika kerajaan membuktikan kes itu, beliau perlu memulangkan kembali setiap sen yang pernah diperolehnya.

Namun, kes tersebut tidak akan membunuh kariernya.

Apa yang akan merosakkan kariernya adalah persepsi bahawa beliau tidak lagi dapat menikmati status istimewa ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Golongan kaya dan terkenal yang biasa mendapat bantuannya tentu sekali akan teragak-agak meminta bantuan dari orang yang kini berselisih dengan kerajaan.

Setidak-tidaknya, itu akan jadi persepsi yang melekat pada batang tubuhnya.– 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen