KEPUTUSAN Anwar Ibrahim memilih kerusi Parlimen Port Dickson sudah tentu dibuat dengan mengambil kira semua aspek strategik dan sentimen, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
Beliau berkata keputusan itu adalah hasil daripada perbincangan yang lama dan mendalam.
“Saya bersama penduduk Negeri Sembilan yang lain memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.
Aminuddin, yang juga pengerusi PKR negeri dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, berkata Anwar telah pun mendapat mandat sebagai Presiden PKR dan penting untuk beliau kembali ke Parlimen kerana banyak isu yang perlu mendapat pimpinan beliau sebagai “Bapa Reformasi”, terutama yang berkaitan dengan institusi Parlimen dan Malaysia.
Katanya setelah sekian lama Anwar dinafikan hak untuk berperanan sebagai anggota parlimen, maka pengumuman yang beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson akan memberi nafas segar buat rakyat Malaysia terutama mereka yang setia kepada perjuangan reformasi.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada bekas anggota Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah yang menyokong usaha ini. Saya berjanji akan menyalurkan sepenuh tenaga khususnya anggota PKR dan juga akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memenangkan Anwar Ibrahim,” katanya.
Aminuddin berkata beliau akan mengadakan mesyuarat PH dalam masa terdekat ini bagi membincangkan gerak kerja jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
“Saya mohon semua angota PKR Negeri Sembilan supaya memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim dan memberi komitmen untuk turun berkempen pada PRK itu nanti,” katanya.
Sementara itu di Petaling Jaya, Naib Presiden PKR Dr A Xavier Jayakumar berkata anggota parti itu akan memberi sokongan penuh kepada Anwar bagi kerusi Parlimen Port Dickson.
Beliau berkata keputusan Anwar untuk bertanding di kawasan berkenaan juga diterima semua anggota dan menyifatkannya sebagai keputusan yang tepat.
“Kita telah terlalu lama menantikan detik ini, semua ahli telah menerima keputusan ini, kami akan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi dan akan turun padang bagi membantu kempen beliau bagi memastikan kemenangannya (Anwar) dan masuk semula ke Parlimen, ” katanya kepada pemberita pada satu majlis hari ini.
Semalam, anggota Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil.
Danyal dilaporkan berkata keputusan itu dibuat bagi membantu Anwar dalam usahanya kembali sebagai seorang ahli Parlimen dan seterusnya menjadi perdana menteri kelapan.
Mengulas mengenai dakwaan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengenai keputusan Danyal mengosongkan kerusi untuk Anwar hanya dibincang oleh kelompok tertentu, Xavier menafikannya sambil menegaskan anggota parti itu bersatu hati dalam menjadikan misi untuk Anwar kembali ke Parlimen satu kenyataan.
“Itu kena tanya dia (Zuraida), tiada sebarang kem dalam PKR, kami semua kem Anwar,” katanya. – Bernama, 13 September, 2018.
Komen