Akta Anti Berita Tidak Benar, Dewan Negara gagal dukung inspirasi rakyat


SAYA merujuk kepada laporan bahawa Dewan Negara telah menolak Rang Undang-undang (RUU) untuk memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar dengan undian majoriti.

Tindakan majoriti ahli Dewan Negara yang menolak pemansuhan akta tersebut adalah amat mengecewakan. Ahli-ahli Dewan Negara yang menolak pemansuhan akta tersebut telah gagal menggarap aspirasi rakyat dalam era Malaysia Baharu. 

Akta Anti Berita Tidak Benar adalah undang-undang anti-demokratik yang melanggar kebebasan asasi rakyat Malaysia dan memberi kuasa kepada pemerintah untuk menentukan apa itu “benar” dan “palsu”. Di tangan pemerintah yang tidak bertanggungjawab, ia akan disalahgunakan.

Sekiranya ia tidak disalahguna sekalipun, tidakkah ahli-ahli Dewan Negara yang menyokong akta ini sedar bahawa sekiranya akta tersebut dilaksanakan, ramai ahli-ahli parti pembangkang, termasuklah pemimpin tertinggi mereka, akan dikenakan tindakan kerana menyebar berita tidak benar? 

Adalah diharapkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneruskan usaha untuk memansuhkan akta tersebut, walaupun terpaksa membentangkan RUU untuk memansuhkan akta tersebut di Dewan Negara semula selepas satu tahun. 

Pada masa yang sama, kerajaan diseru untuk mengenakan suatu moratorium ke atas perlaksanaan Akta Anti Berita Tidak Benar dari sekarang sehinggalah akta tersebut dimansuhkan kelak. Moratorium itu haruslah merangkumi aspek seperti penyiasatan, penahanan dan pendakwaan di bawah Akta tersebut. 

Moratorium juga harus dikenakan ke atas undang-undang lain yang sedang dalam reviu seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)(Sosma), Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan lain-lain akta yang zalim dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Akhir sekali, kerajaan mesti meneruskan usaha mendukung semula kebebasan asasi rakyat Malaysia yang telah dinafikan dan disekat oleh undang-undang yang digubal oleh kerajaan terdahulu, melalui reformasi institusi dan perundangan, walaupun menghadapi cabaran daripada pihak pembangkang. – 13 September, 2018.

*Syahredzan Johan adalah Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen