LEBIH ramai migran didapati menyeberangi sempadan Mexico untuk ke Amerika Syarikat (AS) secara haram, meskipun AS memperkenalkan kawalan lebih ketat ke atas undang-undang imigresen.
Data Peronda Sempadan menunjukkan jumlah tangkapan melonjak 38 peratus iaitu seramai 12,774 pada Ogos.
Jumlah itu melonjak selepas mahkamah mengarahkan pentadbiran AS menghentikan dasar memisahkan kanak-kanak imigran daripada ibu bapa mereka.
Tetapi pada minggu lalu didapati lebih 400 kanak-kanak masih ditahan berasingan dengan ibu bapa mereka lebih daripada tempoh dibenarkan iaitu 20 hari.
Pada minggu lepas pentadbiran Donald Trump mengumumkan akan menghapuskan had 20 hari itu, bertujuan mewujudkan halangan lebih ketat kepada imigresen haram.
Setiausaha Akhbar Keselamatan Dalam Negeri AS, Tyler Houlton berkata kebanyakan mereka yang memasuki AS secara haram, kini adalah dari Amerika Tengah - terutamanya El Salvador, Honduras Guatemala - menjadikan lebih sukar untuk menghantar mereka kembali ke negara asal.
Dalam tempoh Oktober hingga Jun, hanya 1.4 peratus daripada keluarga migran dari ketiga-tiga negara dihantar semula ke negara asal, katanya.– Bernama, 13 September, 2018
Komen