Putera Philip akhiri tugas rasmi


Putera Phillip dan Ratu Elizabeth II sudah berkahwin selama 70 tahun. – Gambar AFP, 3 Ogos, 2017.

SUAMI Ratu Elizabeth II, Putera Philip membuat penampilan solo terakhirnya semalam, sebelum baginda bersara daripada menjalankan tugas rasmi kerajaan, lapor agensi berita China Xinhua. 

Putera Philip, 96, mengadakan pertemuan bersama anggota Pasukan Marin Diraja dalam satu majlis di Istana Buckingham 

Baginda yang juga merupakan kapten jeneral pasukan marin diraja, memberi penghormatan kepada anggota yang terlibat dalam “Global Challenge 1664” iaitu satu program untuk menjalankan aktiviti amal selain mengumpul dana.

Ia adalah tugasan solo baginda ke 22,219 sejak tahun 1952.

Mei lalu, diumumkan yang Putera Philip tidak lagi menjalankan tugasan rasmi baginda tetapi akan menemani Ratu Elizabeth pada upacara tertentu dari semasa ke semasa.

Menurut Istana Buckingham sehingga kini, baginda sudah melaksanakan 637 tugasan solo ke luar negara, menyampaikan 5,496 ucapan, menulis 14 buku dan menjalankan tugasan sebagai penaung untuk 785 pertubuhan. 

Sementara itu, Ratu Elizabeth, 91, masih meneruskan tugasan rasminya.

Pasangan diraja itu sudah berkahwin selama 70 tahun dan merupakan raja paling lama berkhidmat dalam sejarah British.

Pada 2013 baginda pernah menjalani pembedahan selain pernah dirawat akibat masalah arteri koronori tersumbat pada 2011. – Bernama, 3 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen